Terengganu Benar Hiburan, Tapi Ada Syarat

KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Dakwaan mengatakan bahawa Terengganu tidak membenarkan sebarang hiburan dianjurkan di negeri ini adalah tidak tepat.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, naratif itu sengaja dimainkan setelah kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap satu penganjuran parti oleh pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

"Islam tidak haramkan hiburan, sebaliknya memberi garis panduan mengenai hiburan yang sesuai.

"Naratif yang dibawa terhadap isu yang terjadi di Terengganu seolah-olah kerajaan negeri Terengganu hendak mengharamkan semua hiburan.

"Naratif yang sebenarnya ialah kita nak bawa (hiburan patuh syariah), kita tidak menghalang tetapi mestilah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana, Wacana Geopolitik ; Survival Umat Islam, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lebih lanjut katanya, Islam tidak menghalang apa yang bertepatan dengan fitrah kejadian manusia.

"Begitu juga dengan fitrah manusia kasih kepada harta benda, islam tidak melarang manusia mencari harta benda tetapi pada harta benda itu ada kewajipan seperti mengeluarkan zakat.

"Berbeza dengan dunia barat yang ditegak tidak mengikut fitrah menyebabkan jiwa masyarakatnya kosong walaupun maju dan mencipta pelbagai alatan yang canggih, kerana itu banyak berlakunya kes bunuh diri.

"Di sebelah Timur di Korea, Jepun antara negara yang menunjukkan peratusan paling tinggi golongan belia dan anak mudanya terlibat dalam kes bunuh diri, ini kerana tekanan jiwa dengan pelbagai masalah yang dihadapi kerana mereka melihat manusia hanya dari sudut jasad dan fizikal semata-mata, " katanya.

Ujarnya, Islam telah melalui sejarah panjang yang manis dengan dakwah hari ini semakin tersebar luas dan diterima oleh dunia.

"Kini masyarakat mula sedar dengan islam sehingga dapat menerima sistem yang ada dalam islam mencakupi ekonomi, perundangan dan politik tanpa memaksa bukan Islam menganutinya.

"Apabila mereka menerima Islam maka akan dapat melihat sistem Islam yang begitu adil kerana itu ia tersebar dengan begitu cepat," katanya.