Terengganu Biaya Penerbangan Ziarah Pusara Fahmi


KUALA TERENGGANU, 16 Jun - Kerajaan negeri membiayai kos penerbangan dan penginapan kedua ibu bapa Allahyarham Mohammad Fahmi Faizzudin ke Mesir.

Ibu bapa Allahyarham iaitu Mhd Shukri Husin dan Norhayati Jusoh berangkat ke Mesir semalam untuk menziarahi pusara anak mereka di sana dan menyelesaikan beberapa urusan berkaitan.

Pemergian Mhd Shukri dan Norhayati turut diiringi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim dan wakil Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Ibrahim Deraman.

Khamis lalu, pelajar tahun tiga jurusan Syariah Islamiah, Universiti Al Azhar itu yang sedang kritikal di Hospital Safarat, Mesir akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.00 petang (8.00 malam waktu Malaysia).

Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf dikejarkan ke hospital tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terpaksa menjalani pembedahan berikutan mengalami pendarahan di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Terdahulu, kisah Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf yang berasal Kampung Bukit Perah, Ajil mula tular di media sosial kerana rayuan derma kilat apabila keluarganya memerlukan lebih RM40,000 untuk membiayai kos pembedahan Mohd Fahmi setelah dia tidak sedarkan diri dan terpaksa menjalani pembedahan berikutan mengalami pendarahan di kepala.




Tag: