Terengganu FC 'Berpeluh' Atasi Sang Kenari

KUALA NERUS, 3 Julai- Terengganu FC bekerja keras sebelum menang tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi Liga Super Malaysia 2023, malam ini.

Melayan kunjungan KDA FC di laman sendiri, Tomislav Steinbruckner mempertaruhkan gandingan Adisak Kraisorn, Nik Muhammad Sharif dan Sony Norde di barisan hadapan dibantu Engku Muhammad Nur Shakir berikutan ketiadaan penyerang, Ivan Mamut dan Jordan Mintah.

Terengganu FC memulakan perlawanan dengan agresif namun, skuad kendalian Victor Andrag mengimbangi permainan dengan serangan-serangan balas yang pantas.

Pada minit ke-11, Azam Azmi Murad melakukan hantaran lintang yang disambut tandukan Adisak menggegar gawang pelawat, bagaimanapun gol itu dibatalkan pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin kerana 'offside'.

Sang Penyu berjaya meledak jaringan pertama pada minit ke-16 apabila Azam Azmi menggerakkan serangan balas dan melorongkan bola kepada Engku Shakir yang disudahkan dengan rembatan leret dari luar kotak penalti melepasi kawalan Mohd Ifwat Akmal.

Tiga minit kemudian, Sony Norde pula mencuba rembatan dari jarak jauh, tetapi tersasar di sisi gawang.

Sang Kenari yang ketinggalan satu gol, cuba meningkatkan momentum serangan.

Pada minit ke-23, pertahanan KDA FC, Wan Amirul Afiq berjaya menggelecek masuk dari sebelah kiri kubu tuan rumah, tetapi dua rembatannya berturut-turut dinafikan Suhaimi Husin.

Memasuki minit ke-44, Wan Amirul sekali lagi melakukan percubaan setelah menerima lorongan Manuel Hidalgo, kali ini tiang gol menjadi penghalang.

Separuh masa pertama tamat dengan Terengganu FC mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah Tomislav berpeluang menambah jaringan, namun percubaan Nik Sharif pada minit ke-54 berjaya ditampan Ifwat.

Perlawanan kemudian berlangsung perlahan berikutan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati mengatur serangan.

Pada minit ke-74, perlawanan dihentikan seketika kerana penjaga gol tuan rumah, Suhaimi mengalami kecederaan setelah bertembung dengan pertahanan, Muhammad Shahrul Nizam.

Memasuki minit ke-81, Sang Penyu cuba menggandakan jaringan menerusi Muhammad Alif Zakaria yang menerima umpanan Muhammad Syahmi Zamri di hadapan pintu gol lawan.

Bagaimanapun, Ifwat dan barisan pertahanan Sang Kenari kental bertahan menafikan peluang itu.

KDA FC terus menggasak pada minit-minit terakhir perlawanan, namun tiada gol berjaya dihasilkan.

Keputusan kekal 1-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Terengganu FC naik ke tangga keenam liga dengan mengumpul 23 mata.

Gergasi pantai timur itu selepas ini akan berkunjung menentang Kuala Lumpur City FC, pasukan yang menewaskan mereka pada saingan Piala FA lalu.

 

 

 


Tag: