Terengganu FC Garang Atasi Kuala Lumpur



KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Terengganu Football Club (TFC) beraksi garang untuk mengatasi Kuala Lumpur 3-1, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Beraksi di laman sendiri, Sang Penyu mengasak awal untuk meraih kelebihan gol.

Pada minit ke-21, Ahmad Syamim Yahya berpeluang melakukan rembatan dari luar kotak penalti tetapi bola hanya melewati palang gol.

Tidak lama kemudian, Mohd Nabil Ahmad Latpi pula sempat melencongkan bola dari sebelah kiri padang pada minit ke-30, namun tidak berjaya menghasilkan jaringan.

Belum sempat KL menarik nafas , TFC menyerang lagi dan kali ini Nabil dijatuhkan Mohd Sharbinee Allawee dalam kotak penalti.

Lee Andrew Tuck tenang menyempurnakan penalti untuk tuan rumah mendahului lawan.


Bagaimanapun, empat minit kemudian, Skuad Ibu Kota berjaya menyamakan kedudukan melalui Darko Markovic yang menolak mudah bola muntah rembatan Paulo Joshue.

Separuh masa pertama berkesudahan dengan 1-1.

Babak kedua bermula perlahan dengan kedua-dua pasukan cuba menguasai bola yang lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang.

Anak-anak buah Nafuzi bagaimanapun berjaya memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila Mohamad Mohd Faudzi berhasil menolak masuk bola ke gawang lawan yang berpunca daripada sepakan penjuru Lee Tuck.

Memasuki minit ke- 82, Abdul Malik Mat Arif menamatkan cabaran KL dengan menjaringkan gol hasil umpanan Sanjar Shaakhmedov.

TFC mengesahkan tiga mata sekali gus merapatkan jurang kepada dua mata dengan pasukan Melaka United yang berada di kedudukan ke enam liga.


Tag: