Terengganu Sedia RM19 Juta Biasiswa kepada Pelajar Cemerlang
Terengganu Fokus Projek Solar Kenyir Fasa 1, Sasar Raih RM40 Juta
KUALA TERENGGANU, 16 April - Projek solar terapung terbesar di Malaysia yang dibangunkan di Tasik Kenyir ketika ini sedang memfokuskan kepada pembangunan Fasa 1 Blok 1 berkapasiti 640MW (kapasiti keseluruhan sehingga 2,500MW).
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, hasil secara langsung kepada kerajaan negeri untuk projek berkenaan berjumlah RM40 juta setahun.
"Pembangunan projek secara keseluruhannya mengikut garis masa projek.
"Tender untuk Engineering, Procurement, Construction, and Commissioning (EPCC) Fasa 1 Blok 1 bernilai lebih dari RM2 billion juga baru sahaja ditutup pada 15 Mac lalu," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat yang ingin tahu mengenai status projek solar di Tasik Kenyir sehingga kini dan apa hasil yang bakal diperolehi oleh Kerajaan Negeri daripada projek ini dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, Projek Fasa 1 Blok 1 ini akan membuka peluang pekerjaan kepada lebih 150-200 orang penduduk setempat, yang secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri dan pendapatan hasil negeri.
"Dengan adanya projek tenaga hijau seperti ini, ia berpotensi menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga boleh
perbaharui, hidrogen, mobiliti hijau serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), yang secara tidak langsung memberi impak positif kepada hasil negeri.
"Perkembangan positif dari projek ini juga telah menarik perhatian dan minat dari pelbagai syarikat multi-nasional dari dalam dan juga luar negara untuk melabur di Terengganu.
"Antara yang menunjukan minat adalah Acwa Power Company Arab Saudi; Masdar - Abu Dhabi; Sungrow Power dan Envision Group China; Shizen International Inc Jepun; Gentari; MRCB dan sebagainya," ujarnya.
Tambah beliau, projek ini juga menyokong inisiatif serta usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan jejak karbon, yang dapat memberi faedah jangka panjang dalam bentuk insentif dan dana berkaitan kelestarian termasuk juga pendapatan dari Kredit Karbon.
"Pendapatan dividen kepada Terengganu Inc Terengganu Inc dijangka memperolehi dividen berjumlah RM670 juta bagi tempoh operasi selama 25 tahun, " ujarnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, bayaran caj kepada Lembaga Air Terengganu (LAUT) dianggarkan berjumlah RM37 juta setahun.
"Sekiranya keseluruhan projek solar
terapung dilaksanakan sepenuhnya kelak, anggaran bayaran caj kepada LAUT sahaja dijangka melebihi RM100 juta setahun.
"Bayaran permit sebanyak RM1.2 juta setahun kepada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu sebagai pulangan ke atas permit bagi penggunaan tanah untuk laluan kabel dari ladang solar terapung ke pencawang masuk utama TNB," ujarnya.
Katanya, Kerajaan negeri juga dianggarkan akan menerima pendapatan melalui cukai tanah Permit / Lesen daripada projek ini kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu, Pejabat Tanah & Galian dan Jabatan Pengairan & Saliran Negeri masing-masing berjumlah RM750,000, RM200,000 dan RM300,000 setahun.