Terengganu Fokus Rancakkan Sektor Pelancongan Menjelang Tahun Melawat Terengganu

KUALA TERENGGANU, 31 Januari — Kerajaan Negeri komited untuk terus merancakkan industri pelancongan dengan pelbagai inisiatif pembangunan dan naik taraf kemudahan, seiring dengan persediaan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau Mohd Husaimi Hussin berkata pihaknya memberikan menegaskan sokongan penuh terhadap usaha mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini.

"Kerajaan negeri sentiasa menyokong program yang dapat meningkatkan daya tarikan pelancongan di Negeri ini yang dikurniakan dengan pelbagai anugerah alam, lokasi menarik serta warisan budaya yang perlu dimanfaatkan untuk pembangunan negeri.

"Dalam Belanjawan Terengganu 2025, kerajaan memberi tumpuan khas kepada naik taraf kemudahan di destinasi pelancongan utama, termasuk pulau-pulau peranginan seperti Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Kapas, dan Pulau Bidong yang memerlukan RM30 juta untuk dinaik taraf kemudahan jeti dan membina jeti pemunggahan barang bagi keselesaan pelancong serta penduduk setempat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Karnival Gegor Tourism Year Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut Husaimi berkata kerajaan persekutuan juga memperuntukkan RM550 juta untuk persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Sebanyak RM110 juta diperuntukkan bagi pembangunan kawasan pelancongan, ekopelancongan, dan usaha pencalonan UNESCO."katanya.