KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Kerajaan Negeri terus memperkukuh jaringan antarabangsa dalam bidang budaya Islam menerusi kunjung hormat ke Guangdong Islamic Culture Study Center, Guangzhou, China, baru-baru ini.
Kunjung hormat yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi disambut mesra Presiden Guangdong Islamic Association, Imam Wang Wenjie serta Naib Presiden Islamic Association of China.
Pertemuan tersebut menjadi platform penting bagi ‘engagement’ dua hala antara Kerajaan Negeri Terengganu dan institusi Islam di Wilayah Guangdong dengan tumpuan utama kepada pengukuhan budaya Islam, pemeliharaan warisan serta pembinaan kefahaman bersama antara komuniti Muslim Malaysia dan China.
Dalam sesi perbincangan, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai peranan budaya Islam sebagai jambatan peradaban, termasuk peluang kerjasama dalam bidang kajian budaya Islam, pemuliharaan warisan, pertukaran akademik serta pembangunan program berasaskan komuniti Islam.
Perbincangan turut menyentuh potensi penerokaan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak pada masa hadapan, merangkumi penganjuran program bersama, pertukaran budaya, kolaborasi penyelidikan serta pengukuhan hubungan institusi dalam bidang budaya dan pendidikan Islam.
Dr. Muhammad Khalil menzahirkan penghargaan Kerajaan Negeri Terengganu terhadap peranan aktif Guangdong Islamic Association dalam mempromosikan pembangunan budaya Islam yang harmoni di China.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Terengganu untuk terus memperluas kerjasama antarabangsa, khususnya bersama rakan strategik di China, berlandaskan prinsip saling menghormati dan kefahaman budaya.
Sementara itu, Imam Wang Wenjie menyambut baik kunjungan tersebut dan menekankan kepentingan dialog berterusan serta kerjasama rentas negara antara institusi Islam.
Menurut beliau, pertukaran sebegitu mampu menyumbang kepada pengukuhan hubungan antara masyarakat, selain memajukan tamadun Islam dalam konteks global yang lebih luas.
Katanya, kunjung hormat itu juga mencerminkan aspirasi Kerajaan Negeri Terengganu untuk muncul sebagai rakan strategik aktif dalam jaringan budaya Islam antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pemerkasaan hubungan Malaysia–China melalui pendekatan budaya, pendidikan dan nilai sejagat.