KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) telah memperuntukkan sebanyak RM2,735,000 sebagai Bantuan One-Off Pengurusan Sekolah Institusi Pendidikan Islam Swasta Tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata bantuan itu merangkumi institusi mengikut kategori, iaitu 28 buah pondok, 69 institusi tahfiz, 37 sekolah agama dan sebuah kolej.
“Sebanyak 134 buah institusi Tahfiz, Pondok dan Sekolah Agama berdaftar menerima RM 2,715,000 manakala sebuah kolej menerima RM 20,000.
“Jumlah peruntukan ini bukan sahaja menyuntik sokongan kewangan, tetapi juga menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan, memperkukuh sistem pengurusan sekolah, dan memantapkan kapasiti guru serta pelajar,” ujarnya.


“Sokongan yang berterusan dan terancang bukan sahaja menjamin keberlangsungan Institusi Tahfiz dan Pondok, tetapi juga memperkukuh peranan sekolah sebagai pusat ilmu dan budaya Islam yang mampu menyemai nilai rabbani dalam diri pelajar,” ujarnya.