KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menganjurkan Majlis Anugerah Seri Iman (ASI) 2025 sebagai pengiktirafan kepada penggiat dan pemain industri pelancongan negeri.
Mewakili Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, kejayaan industri pelancongan negeri tidak hanya bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata, sebaliknya didukung oleh ramai individu yang bekerja dengan penuh komitmen di belakang tabir.

"Bahkan mereka hanya melakukan tugas dengan sebaik mungkin secara konsisten dan berintegriti.
"Atas sebab itulah kerajaan negeri memilih untuk berdiri pada malam ini dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah membina kepercayaan daripada para pelancong terhadap Terengganu saban tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ASI 2025 yang bertempat di Wisma Darul Iman, semalam.
Turut hadir timbalannya, Sulaiman Sulong, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato' Muhammad Azmi Muhammad Daham serta Pengarah JPNT, Hilman Ajijan.

"Daripada proses inilah lahirnya Anugerah Sri Iman 2025 yang merangkumi 20 kategori dan 39 anugerah meliputi aspek penginapan, produk pelancongan, komuniti, kebudayaan, promosi serta pengiktirafan kepada individu, agensi kerajaan dan ikon industri.
"Pendekatan ini mencerminkan prinsip kerajaan negeri bahawa kepentingan rakyat dan kelangsungan industri mesti berjalan secara seiring.
"Pelancongan yang kita bangunkan bukan sekadar untuk angka dan statistik, bahkan, turut memastikan peluang ekonomi, pemeliharaan budaya dan kesejahteraan komuniti setempat terus terpelihara," tambah Razali.
Setiap penerima anugerah ASI telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 berserta piala dan sijil penghargaan sebagai simbol pengiktirafan atas kecemerlangan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Semoga majlis ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkukuhkan industri pelancongan dan kebudayaan negeri Terengganu serta mengukuhkan hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dan seluruh ekosistem pelancongan," katanya.