Terengganu Hantar Pelajar Sambung Pengajian Ke Afrika Selatan
KUALA NERUS, 20 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu akan menghantar seramai tiga orang anak Terengganu ke International Peace College South Africa (IPSA) di Cape Town, bagi menyambung pengajian di peringkat Ijazah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Saind, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, Mohd Hafiz Mohd Fauzi, Mohd Rahul Abdul Aziz serta Akil Tajuddin Adnan merupakan pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
"Mereka telah dipilih untuk mengikuti program Ijazah dalam Pengajian Islam dan Bahasa Arab di IPSA selama tiga tahun.
"Merupakan batch pertama dan perintis kepada pelajar-pelajar lain seterusnya," ujarnya dalam satu kenyataan, di sini, semalam selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Permata Kebangsaan, di Raia Hotel, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Penolong Pegawai Tadbir Yayasan Terengganu, Ahmad Haffizhi Alilah berkata beliau akan mengiringi ketiga-tiga pelajar itu terbang ke Afirka Selatan pada 4 April nanti.
"Ini akan mencatat sejarah bagi negeri Terengganu sebab ini merupakan kali pertama ke Cape Town akan menjadi perintis kepada pelajar pengajian Islam, ia bertepatan dengan visi dan misi, Dato' Satiful Bahri untuk menghantar lebih ramai anak Terengganu mendapat pendidikan di universiti yang diiktiraf antara 100 yang terbaik di dunia," ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Penajaan) Yayasan Terengganu, Md Lizan Md Nong berkata, kesemua mereka mendapat jumlah pinjaman bolehubah RM124,130.
Katanya, ia merangkumi yuran pengajian, elaun sara hidup, penginapan, alat tulis dan tiket pergi dan balik.
"Insya-Allah selepas ini kita akan ada pelajar pertama dalam bidang perubatan pula di sana dan kita juga sedang berusaha untuk merintis kerjasama dengan University Of Cape Town (UCT) yang juga diiktiraf antara 100 universiti terbaik di dunia,"katanya.