Terengganu Inc Dalam Proses Transformasi Baik Pulih Syarikat


KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) kini dalam proses transformasi baik pulih dengan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada di dalam syarikatnya agar dapat diperkasakan ke arah memberi pulangan maksimum kepada negeri dan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak berkata, pihaknya sedang melaksanakan proses penutupan hampir 50 anak-anak syarikat melalui pelan tindakan terancang.

Katanya, tindakan atau transformasi ini diambil bagi memastikan syarikat yang berdaya saing dan berpotensi diperkasakan, manakala syarikat yang tidak berdaya saing ditutup sekiranya perlu.

Jelasnya lagi, proses telah pun bermula tetapi setiap proses tidak mempunyai tempoh yang sama dan ia bergantung kepada keadaan anak syarikat itu.

"Mungkin ada yang akan ambil masa dari tiga hingga enam bulan dan ada kes yang memerlukan kelulusan Lembaga Hasil Dalam Negeri  dan mahkamah.

"Nak tutup tidak semudah buka, kita kena buat pantauan sekiranya anak syarikat berkenaan masih ada hutang, apa yang terjadi kepada hutang-hutang berkenaan dan semuanya  kena tengok satu persatu kerana kita tidak ada satu formula untuk selesaikan masalah ini," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Iftar Terengganu Inc Dan Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Asnaf di Dewan Berlian, Permai Hotel, semalam.

Dalam majlis berkenaan, seramai enam keluarga asnaf dan miskin diraikan dengan berbuka puasa bersama kakitangan Terengganu Inc. Mereka turut menerima sumbangan hamper dan duit raya.


Wan Ahmad Rudirman berkata, Jejak Iftar Ramadan yang telah memasuki tahun kedua itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) warga kerjanya sempena bulan yang penuh keberkatan ini.

"Kempen Jejak Iftar Ramadan 1440H adalah merupakan CSR initiatif yang melibatkan warga kerja Terengganu Inc.

"Uniknya Jejak Iftar ini adalah satu-satunya CSR yang melibatkan sumbangan daripada warga kerja Terengganu Inc sendiri yang membuat kutipan dari segi wang tunai, barang-barang keperluan asas seperti beras, gula, minyak dan lain-lain.

"Selain itu, turut dikumpul sumbangan pakaian kepada kumpulan-kumpulan asnaf atau madrasah dari awal Ramadan sehingga tarikh pengagihan.

"Kita akan cuba ringankan beban mereka untuk hadapi hari raya dengan beri sumbangan dan bantu dari segi persiapan untuk menyambut hari raya tidak lama lagi.

"Insya-Allah, program ini akan diteruskan pada masa akan datang dan kita akan cuba untuk lebarkan rangkaian serta pencarian mereka yang boleh dibantu dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa," katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ahli-ahli Lembaga Pengarah Terengganu Inc.

Pada Ramadhan 1440H kali ini, Jejak Iftar Ramadan merupakan salah satu 'footage' video Hari Raya Aidilfitri Terengganu Inc di mana 'team' produksi turut dibantu oleh UPDI dan ManisFM yang bersama-sama ke beberapa lokasi pengambaran.

'Shooting' terakhir berakhir di Majlis Iftar Terengganu Inc yang diadakan semalam. Video ini dijangka siap dan disiarkan selewatnya pada 3 Jun ini.

Tag: