Terengganu International Bike Meet Antara Terbesar Di Asia


Terengganu International Bike Meet (TIBM) Volume 2 2017 yang akan berlangsung di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu selama dua hari bermula 29 September ini dijangka menjadi antara himpunan motor yang terbesar di Asia.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak berkata, pada tahun lepas, seramai 5,200 peserta menyertai program anjuran bersama kerajaan negeri dan Kelab Penunggang  Motosikal Negeri Terengganu itu.

Katanya, tahun lalu, lebih 20,000 pengunjung membanjiri tapak program sepanjang himpunan di Pulau Warisan, Kuala Terengganu berkenan.

"Pada kali ini, kita adakan program ini di Dataran Shahbandar dan penganjur mensasarkan 7,000 peserta termasuk dari Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.

"Penganjuran acara bermotosikal ini memang kerajaan negeri amat mengalukan kerana ia mensasarkan satu kumpulan yang mempunyai ramai pengikut. Jadi tahun ini penganjur meletakkan tidak kurang dari 25,000 pengunjung hadir ke program itu," katanya.


Beliau ditemui pemberita pada sidang media sempena Terengganu International Bike Meet Volume 2 2017 di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu, hari ini.

Tambahnya, penganjuran TIBM tersebut secara tidak langsung dapat dijadikan platform untuk melonjakkan Terengganu di mata masyarakat luar terutamanya kepada penggiat sukan permotoran.

Tun Ahmad Faisal berkata, ianya juga dapat menyumbang kepada  ekonomi negeri melalui aktiviti pelancongan.

Dalam pada itu, presiden Kelab Penunggang  Motosikal Negeri Terengganu, Ahmad Fanizar Bani Mat Taha berkata, untuk edisi kali kedua itu, penganjur memberi suntikan kelainan untuk memberi lebih peluang kepada anak Terengganu beraksi.

"Pertamanya, aksi lasak bermotosikal kebiasaannya di lakukan oleh pelagak ngeri dari luar namun kali ini kita gunakan anak Terengganu sendiri sama juga bagi persembahan pentas dimana Falah Bassim dan Purnama Band bakal beraksi di sini.

"Tahun ini juga, kita akan adakan konvoi ke Sekolah Pondok Iktifar, Langkap Baru yang mana program ke sana sambil menderma," katanya.

Tag: