Terengganu Jemput 'Pengkritik' ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariah

KUALA TERENGGANU, 5 September - Kerajaan Terengganu menjemput semua pengkiritk dan pihak yang sangsi dengan pelaksanaan syariah di di negeri terbabit ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariah yang bakal berlangsung di Stadium Nasiruddin Shah, di sini bermula hari ini hingga esok.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata Karnival yang akan berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup berlandaskan syariat Islam secara besar-besaran.

Menurutnya, kempen berterusan sebegini juga merupakan salah satu daripada proses pendidikan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam memadam persepsi negatif yang ditanam kelompok berkepentingan.

Tambah beliau, beberapa minggu lalu Terengganu diserang dari segenap penjuru berkenaan pemerkasaan syariah dan kebersamaan kerajaan serta rakyatnya dengan alim ulama.

“Terengganu dituduh ‘merendahkan martabat dan mengongkong wanita’ dek kerana larangan terhadap perempuan muslim menyertai acara sukan terjun di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang diketahui umum tidak selaras dengan kehendak Islam.

“Terbaru Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang menyokong kuat agenda pemerkasaan syariah Terengganu turut diserang di media sosial.

“Di sebalik serangan itu, saya merasa hairan apabila usaha memartabatkan syiar Islam dipandang serong dan digambarkan sebagai ‘mundur’ oleh sesetengah pihak di media social,”ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri ( ADUN) Batu Buruk itu berkata tuduhan tersebut disebabkan mereka masih belum memahami dan merasai sendiri kemanisan hidup bersyariat.

“Saya sekali lagi mempersilakan seluruh rakyat Terengganu, Malaysia dan mereka yang sangsi dengan Islam untuk hadir ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariat untuk memahaminya dengan lebih dekat,” ujarnya.

Karnival anjuran kerajaan negeri itu juga  meletakkan objektif untuk menyediakan rakyat bagi agenda syariah Islam yang dilakukan secara tadaruj dan berperingkat.