SHMMP KRISMAS: 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
Komited selesai isu tanah terbiat-Dr Azman- Foto oleh Saiful Mustafa |
Kerajaan negeri komited menyelesaikan isu tanah sawah terbiar di kawasan Jelapang Padi, Setiu dengan menambah kira-kira 400 hektar kawasan penanaman padi baharu berbanding 335 hektar sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata difahamkan kawasan kira-kira 400 hektar itu sudah pun dibersihkan, dibajak dan membina sistem pengairan oleh kerajaan sebelum ini membabitkan peruntukan RM46 juta.
Katanya, tetapi malang, kawasan itu tidak dimanfaat sepenuhnya dan dibiarkan tanpa sebarang tanaman.
“Oleh itu, kerajaan negeri melalui pihak berkaitan akan menyelesaikan masalah itu sebaik mungkin dengan mencari pelbagai alternatif dan kaedah terbaik supaya kawasan tidak dibiarkan kosong.
“Perkara ini berlaku mungkin disebabkan keadaan tanah lembut , mudah mendap dan terdedah kepada banjir, jadi sukar untuk jentera padi melakukan kerja-kerja bercucuk tanam,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Teganukita, di pejabatnya, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Dr Azman turut memberitahu sebagai langkah panjang, kawasan itu akan dibina pam air sebagai langkah menstabilkan keadaan tanah sawah.
“Sekiranya apa yang dirancang itu berjaya, pastinya lebih ramai penduduk setempat dapat menambah pendapatan dengan pengeluaran padi yang dijangka kira-kira 1.5 metrik tan setahun,”katanya .