KEMAMAN, 23 Mei - Kerajaan negeri sentiasa berusaha bagi memastikan apa jua aktiviti yang dijalankan di negeri ini mematuhi syariat Islam termasuk papan-papan iklan tidak dibenarkan mempamerkan wanita seksi atau tidak menutup aurat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, apa jua papan iklan daripada mana-mana pihak bertujuan untuk mengiklankan produk, perkhidmatan dan sebagainya perlu mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan.
"Perkara ini sudah lama kita buat, ia dilaksanakan menerusi jalinan kerjasama antara jawatankuasa pelancongan, dakwah dan juga menerusi portfolio saya, kami meletakkan syarat semua iklan yang ingin dipamerkan di 'billboard' di negeri ini mesti selari dengan dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
"Antaranya ialah iklan wajib menutup aurat, tidak mengiklankan apa jua yang bertentangan dengan ajaran Islam supaya menghormati sensitiviti masyarakat setempat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Kongres Pendidikan Rakyat Terengganu (KoPeRaT) di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, Darul Iman Training Centre (DITC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Satiful Bahri berkata, kerajaan negeri juga berhasrat untuk memperbanyak papan iklan yang berunsur nasihat serta mendidik orang ramai agar jelas faham dengan usaha dilakukan kerajaan negeri dalam pelaksanaan syariah di negeri ini.
"Kawasan utama yang menjadi tumpuan kita seperti destinasi pelancongan, pulau-pulau dan sebagainya akan kita buat perkara ini supaya mereka menghormati akan adat, budaya dan ajaran Islam.
"Kita terus memberikan nasihat dengan pelbagai cara dan inisiatif serta melakukan hebahan secara berterusan mengenai dasar dan polisi yang telah kita tetapkan dalam mendidik rakyat serta mereka yang berkunjung ke sini agar memahami Islam dengan baik dan dijadikan panduan untuk melakukan apa jua aktiviti agar negeri ini terpelihara kesejahteraan dan keharmoniannya," tambahnya lagi.