• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Terengganu Lokasi Terbaharu Nomad Digital di Malaysia

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos- Terengganu terpilih sebagai lokasi keenam hub DE Rantau atau penginapan yang diperakui sebagai gaya hidup nomad digital bagi menggalakkan mobiliti profesional digital dan pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata  inisiatif yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu bakal menarik lebih ramai komuniti ‘digital nomad’ (nomad digital) menjadikan Terengganu sebagai pejabat atau rumah kedua mereka.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pemilihan Terengganu sebagai  hub nomad digital kerana pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendapatkan status tersebut.

”Bukan sekali jumpa tetapi beberapa kali, saya memberi gambaran bahawa Terengganu ini sangat sesuai untuk dijadikan hub atau satu destinasi kepada digital nomad sebab kita mempunyai ekosistem yang sangat baik.

“Kita punyai pulau-pulau yang sangat indah dan cantik, Tasik Kenyir yang hebat, pelbagai pilihan makanan tradisional, warisan yang cukup kuat untuk kita sertai nomad digital.

“Dan saya sangat bangga pada hari ini kerana ia direalisasikan dengan MDEC, Kementerian Digital  dan mungkin kita akan adakan perbincangan seterusnya dari semasa kesemasa untuk pastikan ada pertambahan nomad digital ke Terengganu,”ujarnya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis pelancaran program de rantau@Terengganu di Laman Singgahsana, Kampung Budaya Terengganu,  Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Mengulas mengenai bagaimana de rantau@Terengganu mampu mempengaruhi pertambahan kehadiran pelancong ke Terengganu, Razali berkata penilaian itu akan dibuat selepas beberapa bulan program itu dilaksanakan.

“Saya yakin nomad digital akan memberi ruang promosi negeri Terengganu ke seluruh dunia dan jika promosi berjaya, pelancong akan datang ke Terengganu sebagai destinasi wajib.
“Dan saya jangkakan beberapa peratus lagi pertambahan kehadiran pelancong selepas program hari ini...kita akan tengok ‘Return on Investment’ selepas dua tiga bulan nanti tentang kehadiran pelancong,”ujarnya lagi. 

Tambah Razali, berdasarkan  data sehingga Jun 2024, Terengganu antara negeri tumpuan dengan merekodkan seramai 5.2 juta pelawat melebihi sasaran awal iaitu 4.5 juta  bagi setahun..

"Menjelang akhir tahun  kerajaan negeri mensasarkan seramai 7 hingga 8 juta pelancong berkunjung ke Terengganu.

“Sasaran ini juga berdasarkan Terengganu sebagai hub nomad digital terbaharu dan saya letak pertambahan sehingga 40 peratus selain program sepanjang Monsun Timur Laut nanti,”kata beliau.