• 05 Okt 2024 | 02 Rabiul Akhir 1446

Terengganu Lulus Dua Syarikat Laksana Kajian Lombong REE

KUALA NERUS, 3 Oktober - Kerajaan Terengganu sudah meluluskan permohonan dua syarikat untuk melakukan kajian awal bagi menentukan skop perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dua syarikat itu diberi tanggungjawab melakukan proses penerokaan sejak Ogos lalu bagi menentukan tahap kedalaman sebelum proses perlombongan.

Ujarnya, dari lapan syarikat yang memohon untuk terlibat dalam proses membabitkan REE tersebut hanya dua syarikat sahaja yang diluluskan setakat ini.

"Kerana mereka telah memohon dalam tempoh yang begitu lama bagi melakukan kajian tahap kedalaman melombong termasuk perincian proses mengerudi kawasan perlombongan, semua itu ada kiraannya yang tersendiri.

"Selepas kerja awal itu barulah sumber itu boleh dikeluarkan dengan kadar maksimun.

"Hasrat kita memang hendak beri kelulusan kepada lapan-lapan syarikat yang telah memohon ini, kita berikan selepas proses kajian dilakukan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Dialog EXCO di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, kelmarin.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Mengulas lebih lanjut, Nurkhuzaini berkata selepas kajian dilakukan fasa seterusnya akan dapat dilakukan.

"Kita jangka dalam Jun tahun hadapan kita akan luluskan lesen perlombongan untuk keluarkan hasil tersebut.

"Dalam masa yang sama kita tengah jalinkan hubungan dengan 'player industry' untuk keluarkan karbonat dahulu yang akan diproses untuk dibuat magnet yang menghasilkan kuasa lebih 70 kali ganda, ia digunakan dalam menghasilkan kereta elektrik," ujarnya.