TIS 2024: Lima Teras Bangun Kesatuan & Solidariti Keamanan Global
Terengganu Mahu Bina Belia Berkemahiran
MARANG, 10 Julai - Kerajaan Terengganu komited untuk membina belia berkemahiran tinggi bagi memastikan kesinambungan pentadbiran berada di landasan terbaik bagi menghadapi suasana yang mencabar hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan, dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha membangunkan belia yang pakar dalam bidang-bidang tertentu akan dibantu dan disokong sepenuhnya kerajaan kerana ia memberi pulangan lumayan dalam jangka masa panjang.
Jelasnya, individu berkemahiran bukan hanya sekadar mampu untuk membina kehidupan sendiri tetapi turut sama menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan pembangunan negeri.
“Sememangnya bidang kemahiran ini merupakan suatu bidang yang cukup penting dan kita perlu menerima hakikat bahawa peluang untuk bekerja bergantung kepada kemahiran yang kita miliki.
“Ini kerana bidang kemahiran ini adalah bidang yang bersifat terbuka dan tiada had, kerana itu kita harus meneroka seluas yang mungkin dalam bidang ini, supaya satu hari nanti kita mampu melahirkan rakyat yang mempunyai kemahiran yang pelbagai dan mampu untuk berdikari,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tamat Latihan Golongan Pekerja dan "Future Workers" (GPFW) dalam Kursus Safety & Health Officer (SHO) 2019 di Dewan Ibnu Khaldun, Pusat Pembangunan Kemahiran Terengganu (TESDEC), Bukit Kor, di sini hari ini.
Berpesan kepada belia supaya mempunyai keyakinan yang tinggi apabila memasuki dunia pekerjaaan. |
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Md. Kamaru Al-Amin Ismail, Timbalan Pengurus Besar TESDEC (Akademik), Sheikh Nehmil Emir Alias dan Timbalan Pengurus Besar TESDEC (Pengurusan), Saidi Salleh @ Sulong.
Wan Sukairi yang juga Pengerusi TESDEC Berhad turut mengajak semua rakyat Terengganu supaya tidak memandang rendah dan mengabaikan ilmu kemahiran kerana fakta menunjukkan hampir 90 peratus lulusan kursus (SHO) ini mendapat pekerjaan.
Katanya, ibu bapa perlu menyahut seruan itu dengan memberi kebebasan dan tidak menghalang anak mereka yang berminat untuk mempelajari ilmu tersebut di pusat kemahiran yang disediakan kerajaan negeri atau institusi lain.
“Janganlah kita beranggapan bahawa bidang atau institusi kemahiran ini adalah tempat dan pilihan yang terakhir.
“Sebaliknya, pusat kemahiran sangat penting khususnya buat ibu bapa dalam mencorak dan membangun kerjaya anak-anak dalam dunia yang sangat mencabar (memerlukan kemahiran tertentu) sekarang,” tambah beliau.
Dalam majlis berkenaan, seramai 75 graduan dalam kursus SHO yang mendapat biaya daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) diraikan.