Terengganu Mahu Hidupkan Semula Seni Kain Telepuk
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Kerajaan Negeri Terenggganu akan membantu usaha tokoh pengukir terkenal Malaysia, Norhaiza Nordin yang mahu menghidupkan semula seni penghasilan kain telepuk yang sudah pupus di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Arifin Deraman berkata, perincian bantuan itu akan diputuskan setelah mengadakan perbincangan lanjut bersama pengukir tersebut tidak lama lagi.
"Kain telepuk adalah antara koleksi yang dipamerkan beliau sempena Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza Noordin di Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang bermula 1 Disember lalu. Kain telepuk ini adalah sejenis tekstil yang dipakai oleh raja-raja Melayu Terengganu sekitar 1870-an," ujarnya.
"Kain telepuk adalah antara koleksi yang dipamerkan beliau sempena Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza Noordin di Kompleks Muzium Negeri Terengganu yang bermula 1 Disember lalu. Kain telepuk ini adalah sejenis tekstil yang dipakai oleh raja-raja Melayu Terengganu sekitar 1870-an," ujarnya.
Katanya, penghasilannya sangat sukar dan unik dan ia akan ‘mati’ dan hilang di dunia ini jika tidak dihidupkan kembali.
“Kita rakyat Terengganu bahkan Malaysia sepatutnya berbangga dengan Nor Haiza Nordin kerana selain daripada hasil pengumpulan seni khat yang beliau hasilkan sendiri, sebenarnya terdapat keunikan yang kita baru sedar, antaranya seni kain telepuk.
"Ini satu usaha yang sangat murni, jadi pada saya perlu ada satu usaha yang sungguh-sungguh daripada pihak berkenaan kerana kalau kita tidak jaga, ia akan mati,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza 2018 yang diadakan di Kompleks Muzium Negeri semalam.
Menurut Arifin, warisan itu telah dihidupkan kembali oleh Norhaiza Nordin yang berasal dari Besut, Terengganu yang kini menjadi rujukan dalam bidang seni ukir dan motif.
Sehubungan itu, Norhaiza berkata, kerajaan negeri amat perlu mengangkat kembali seni kain telepuk tersebut.
“Seni ini ambil masa berbulan-bulan untuk siap, jadi itu yang mengakibatkan seni ini telah pupus,” tegas beliau.
Kata beliau, antara sebab seni tersebut makin hilang adalah apabila permintaan daripada istana sudah tidak ada.
“Insya-Allah lepas ini Terengganu kena angkat balik seni yang pernah ulung pada suatu ketika dahulu,” tambah beliau.