Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
ULSAN, 22 Mac - Terengganu telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Korea Selatan untuk memanfaatkan kepakarannya dalam mengolah sumber Tenaga Hijau dari Terengganu bagi mengurangkan ketergantungan pada hasil petroleum.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Terengganu akan melancarkan Teknologi Hijau Pelan Induk (PItiH) yang sejajar dengan dasar dan inisiatif negara.
Katanya, tenaga hidrogen ialah salah satu sektor yang disasarkan dalam pelan induk Terengganu.
"Inisiatif Terengganu ini selaras dengan dasar negara dan pelan hala tuju, Dasar Pelaburan Baharu (NIP) dan Matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
"Saya percaya kerjasama antara kumpulan Star Group Industries Co. Ltd, K-Watercraft dan anak syarikat Terengganu, MBI akan memudahkan realisasi hidrogen kepada projek kuasa di Terengganu.
"Terima kasih sekali lagi, atas kepercayaan dan keyakinan kepada Negeri Terengganu," katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, industri nadir bumi (REE) dan teknologi hijau adalah antara fokus PITAS 2030 dengan dua subsetnya iaitu Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Terengganu atau 'NewIncomeTerengganu (NIT)' dan Pelan Induk Teknologi Hijau (PITiH).
"Kita memanfaatkan aset terbaik negeri ini yang ternyata menjadi teknologi yang paling mendapat permintaan di seluruh dunia dalam tempoh 5 hinga 10 tahun akan datang.
"Untuk semua rakyat negeri ini, doakan semoga usaha ini berjalan lancar, insya-Allah," ujarnya.
Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri akan mengoptimumkan hasil pendapatan negeri melalui Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang mengandungi tujuh strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak.
Katanya, pelan itu juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan REE.