Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Terengganu Monsoon Challenge Sailing GP 2017 Berlangsung 23 November Ini
Kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan Luncur Layar Terengganu bakal menganjurkan Terengganu Monsoon Challenge Sailing GP 2017 pada 23 hingga 26 November ini bertempat di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program yang tersebut akan menampilkan pengisian dan fokus berbeza dengan penganjuran Monsoon Cup.
Katanya, program tersebut merupakan anjuran kerajaan negeri tanpa melibatkan kelab-kelab profesional dunia.
"Ini adalah salah satu acara yang kita hendak laksanakan menggunakan konsep mengikut acuan Negeri Terengganu dan belanja pun tidak besar.
"Bajet dijangka lebih kurang RM200,000 dan kebanyakannya adalah daripada penaja. Kerajaan negeri akan memperuntukkan bajet yang minimun iaitu untuk promosi sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Dato' Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang.
Ahmad Razif berkata, keselamatan semasa kejohanan tersebut berlangsung amat dititiberatkan kerana dijalankan ketika musim monsun selain daripada penglibatan pengunjung yang dijangka akan memenuhi kawasan tersebut.
Program tersebut dijangka melibatkan 300 peserta daripada dalam dan luar negeri bakal berentap dalam beberapa acara dipertandingkan dengan jumlah keseluruhan hadiah ditawarkan sebanyak RM60,000.
Lima acara yang akan dipertandingkan dalam kejohanan tersebut adalah acara 'optimist', 'windsurfing', 'laser', 'international 420' dan 'rc sailboat racing'.
Manakala tujuh kategori dipertandingkan iaitu 'Best Team Piala Monsoon', 'GP Final Monsoon Cup', 'Monsoon Cup', 'Round Island Challenge', IPT, 'Novice' dan 'Remote Control Challenge'.