• 04 Jul 2024 | 27 Zulhijah 1445

Terengganu Negeri Paling Strategik Bangunkan Industri CCUS

KUALA LUMPUR, 1 Julai - Terengganu merupakan negeri yang paling strategik bagi pelaksanaan industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

Menteri Besar merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana Kompleks Petroleum yang wujud di negeri itu mampu memudahkan proses projek berkenaan.

“CCUS yang merupakan salah satu potensi yang besar yang perlu untuk direncanakan dengan penuh teliti untuk memajukan industri ini.

“Negeri Terengganu adalah merupakan salah sebuah negeri yang paling strategik untuk untuk menjadi pelopor bagi industri CCUS ini di Kompleks Petroleum yang sedia ada di Negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) berkaitan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam soalan tambahannya, beliau meminta agar Menteri menjelaskan status terkini rangka kerja peraturan dan undang-undang berkaitan CCUS yang sebelum ini pernah dibincangkan.

“Bagaimana pula Terengganu boleh memainkan peranan dalam pembangunan industri ini termasuklah untuk memperkasakan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) supaya mereka juga turut beroleh manfaat ekonomi dalam membekalkan kandungan tempatan menyokong rantaian nilai dan eksport?,” soal beliau.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong berkata, akta berkaitan CCUS akan digubal oleh Kementerian Ekonomi dan dijangka dibentang dalam Parlimen pada penghujung tahun ini.

Katanya, dalam penggubalan akta itu, MITI terlibat di dalam kumpulan kerja untuk memastikan pembangunan industri dan pelaburan dan juga teknologi.

“Yang kedua, Petronas di Kerteh memang telah dilantik oleh MITI sebagai salah satu ‘mision base champion’ dalam sektor CCUS dan ini juga telah dilakukan dan akan membawa manfaat kepada Terengganu dan juga seluruh negara.

“Yang ketiga, saya rasa memang Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri boleh memastikan dari segi tanah dari segi perlesenan dan dari segi infrastruktur boleh disediakan supaya kita dapat memastikan apabila akta telah diterima oleh Parlimen kita boleh laksanakan projek-projek CCUS di Terengganu secepat mungkin,” jelasnya.


Tag: