Adun Belia Desak Persekutuan Tidak Khianat Royalti Terengganu
Ustaz Sulaiman Sulong (kanan) berucap dalam sidang media kejohanan tersebut. Foto - Harish Fadzillah |
KUALA TERENGGANU - Pertandingan Kejohanan Asian Lawn Bowls Beautiful Terengganu Malaysia Mixed Team Championship 2018 yang sedang berlangsung sekarang ini adalah salah satu produk pelancongan sukan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, ia bukan pertandingan biasa kerana melibatkan peserta yang datang daripada 10 negara dan 20 pasukan yang akan bertanding.
"Pertandingan boling padang yang diadakan pada kali ini merupakan satu acara yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri,
“Ianya melibatkan peserta yang datang menyertai pertandingan dan dalam masa yang sama kita mengambil kesempatan untuk melancong dengan menziarahi tempat-tempat menarik.
“Kita turut mengambil peluang ini untuk memperkenalkan Terengganu sesuai dengan apa yang kita lancarkan iaitu 'Beautiful Terengganu',” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Majlis Makan Malam Rasmi Kejohanan Asian Lawn Bowls Beautiful Terengganu Malaysia Mixed Team Championship 2018 di Dewan Permata, Hotel Permai Inn pada Ahad, 26 Ogos.
Katanya, melalui aktiviti sukan itu, kerajaan negeri dapat menjana pulangan dan hasil pendapatan serta membantu penggiat-pengiat pelancongan serta para peniaga.
Para pemain juga ialah pelancong yang akan membeli produk keluaran tempatan.
Sehubungan dengan itu, Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata, beliau berharap dengan tersedianya kelengkapan dan tempat arena Lawn Bowls yang bertaraf dunia di Gong Badak akan menarik lebih ramai lagi kontijen yang datang ke Terengganu.
Menurutnya, tiada masalah untuk pasukan Malaysia merangkul beberapa medal dalam pertandingan kali ini.
“Apabila menjelang SUKMA, pasukan Terengganu akan menghantar para atlet untuk membuat pendedahan luar samada berlawan dan kita pernah ke Perth untuk berlatih tetapi sekarang ini kita tidak perlu ke mana-mana,
“Sebagai pulangan, ianya memberi satu pendedahan yang baik kepada pasukan SUKMA yang akan bertanding 2 minggu lagi,” tambahnya.
Justeru, ianya juga adalah satu pulangan yang baik kepada Negeri Terengganu.