lightning-solid
Berita :
Terengganu Perkasa Wanita Melalui Kefahaman Undang-Undang
Terengganu Perkasa Wanita Melalui Kefahaman Undang-Undang
Mohamad Farhan Anam
16 Nov 25
217

KUALA TERENGGANU, 16 November — Program Memperkasa Wanita Melalui Kesedaran Undang-Undang 2025 bertemakan 'Hak Diketahui, Wanita Dihormati' berlangsung dalam suasana penuh berilmu apabila peserta daripada pelbagai latar belakang menghadiri program anjuran Persatuan Undang-Undang dan Hak Asasi Rakyat (PRUHART).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, program tersebut memainkan peranan penting dalam memperkasa wanita bukan sahaja dari aspek sosial dan ekonomi, tetapi juga dari sudut ilmu pengetahuan serta kefahaman terhadap hak-hak undang-undang.

“Apabila wanita tahu haknya, dia mampu melindungi diri dan orang lain dengan bijaksana, tanpa perlu takut untuk bersuara atau menuntut keadilan,” katanya ketika berucap pada program tersebut.

DSCF2292.JPG 14.43 MB
Tegas beliau, wanita pada hari ini memikul tanggungjawab besar dalam masyarakat, namun masih ramai yang berhadapan dengan cabaran seperti keganasan rumah tangga, diskriminasi pekerjaan, isu penjagaan anak dan pengurusan pusaka.

Program tersebut, katanya, membuka ruang kepada peserta untuk mempelajari hak undang-undang, berkongsi pengalaman, serta memperkukuhkan jati diri dan keyakinan wanita.

Dalam ucapannya, Zuraida turut berkongsi mengenai Dasar Wanita Terengganu yang digubal bagi melindungi, memperkasa dan membangunkan wanita ke arah merealisasikan Terengganu sebagai negeri Maju, Berkat dan Sejahtera.

Wanita katanya, mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi, manakala keluarga, pihak berkuasa dan masyarakat bertanggungjawab memastikan hak tersebut dapat dilaksanakan tanpa halangan atau tekanan.

Zuraida turut merakamkan penghargaan kepada semua penceramah yang membincangkan topik penting termasuk perlindungan undang-undang terhadap keganasan rumah tangga, hak pusaka, gangguan seksual dan pendidikan pengguna era digital.

IMG_20251116_114856_663.JPG 22.49 MB


Artikel Berkaitan