Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Perlu Tambah Kemudahan Penginapan Tampung Kehadiran Pelancong
Terengganu Perlu Tambah Kemudahan Penginapan Tampung Kehadiran Pelancong
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
54

MARANG, 6 Oktober – Kemudahan penginapan di Terengganu perlu ditambah bagi menampung permintaan yang semakin tinggi, terutama ketika musim cuti dan tempoh puncak kunjungan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Razali Idris berkata, negeri itu merekodkan 5.2 juta pelancong yang bermalam sepanjang 2025.

Menurutnya, peningkatan jumlah pelancong menyebabkan kemudahan penginapan di beberapa lokasi tidak mencukupi ketika permintaan tinggi.

“5.2 juta merupakan pelancong yang bermalam, tidur sini. Sampai tak cukup hotel.

“Ada yang tidur masjid, betul. Ada yang tidur dalam kereta tepi pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Terengganu dan Pekan Budaya Daerah Marang 2026, di sini pada 3 Oktober.

Berdasarkan Statistik Pelancongan Domestik 2025 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Terengganu menerima 15.5 juta pelawat domestik pada 2025 berbanding 14.5 juta pada 2024.

Daripada jumlah itu, 5.2 juta merupakan pelancong yang bermalam, meningkat daripada 4.9 juta pada tahun sebelumnya.

Razali berkata, peningkatan kunjungan itu membuka peluang menjana pendapatan kepada penduduk tempatan, termasuk pengusaha makanan, penjaja serta pengusaha inap desa dan resort.

“Apabila ramai datang Terengganu maka rakyat Terengganu akan mendapat laba. Ikan celup tepung laku, goreng pisang laku, homestay laku, resort laku, serba-serbi laku di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan sektor pelancongan perlu disokong dengan kemudahan yang mencukupi, perkhidmatan yang bermutu serta kebersihan premis dan persekitaran yang terjaga.

Menurutnya, kebersihan turut mempengaruhi pengalaman pelancong kerana tarikan pelancongan berkait rapat dengan keadaan alam sekitar.

“Kalau kotor, tak ada orang datang. Kalau kedai kotor, tak ada orang datang. Kalau apron kotor, tak ada orang nak datang,” katanya.

Razali berkata, Terengganu memiliki tarikan semula jadi, termasuk pantai sepanjang kira-kira 244 kilometer dan pulau-pulau yang menjadi antara tumpuan utama pelancong.

Katanya, khazanah semula jadi itu perlu dipelihara bagi memastikan peningkatan jumlah pengunjung tidak menjejaskan alam sekitar.

Beliau turut menyeru pengusaha pelancongan supaya memberikan layanan terbaik kepada pengunjung dengan mengutamakan kebersihan, kesopanan dan mutu perkhidmatan.

“Jadi kita nak kena berani, kita nak kena hebat, kita nak kena sambut pelancong-pelancong ke negeri kita dengan adab yang sempurna,” katanya.

Menurutnya, usaha menambah baik kemudahan dan perkhidmatan pelancongan penting menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027, yang dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha serta masyarakat setempat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan