Terengganu Peruntuk Lebih RM29 Juta Bantu Usahawan Sejak Tahun 2019

KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan RM29 juta bagi membantu 5,098 usahawan di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sejak diperkenalkan pada tahun 2019 hingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata walaupun kerajaan negeri disekat royalti, pihaknya tetap mengambil tanggungjawab untuk meneruskan skim TUGAS meskipun jumlah pembiayaan tidak seperti sebelum ini.

“Dengan tekad ingin terus membantu seluruh usahawan di Terengganu, kerajaan negeri melalui YPU akan meneruskan pembiayaan ini bagi membantu usahawan meningkatkan pendapatan mereka.

“Ia secara tidak langsung dapat membantu masalah pengangguran dan juga meningkatkan ekonomi negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran TUGAS kali ke-3/2024 di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, hari ini.

Dalam majlis tersebut seramai 47 usahawan menerima surat tawaran peringkat tiga/2024 dengan jumlah peruntukan RM622,479.40  ribu yang mana  setiap usahawan akan mendapat pembiayaan antara RM7 ribu sehingga RM50 setiap seorang.

Jelas Ariffin, ia meliputi skim-skim sedia ada seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT), TUGAS-PERANTAU, Dana Usahawan& Industri Mikro Terengganu (DUIT) dan Dana Prihatin Terengganu-OKU (D-Hati).

“Saya melihat skim-skim ini sangat tepat bagi memastikan usahawan Terengganu mengembangkan lagi potensi perniagaan dan meningkatkan ekonomi rakyat,” ujar beliau lagi.

Katanya, bagi tahun 2024, pihaknya telah membuat pengeluaran pembiayaan Skim TUGAS lebih RM1.7 juta kepada 135 peminjam yang memasuki peringkat ketiga dan bakinya sebelum akhir tahun ini.

Dalam masa sama, Ariffin berharap para peminjam memanfaatkan skim TUGAS dengan sebaik mungkin dan membuat bayaran balik sebagaimana yang terdapat dalam surat perjanjian yang telah ditanda tangani.

“Sebagaimana yang saya katakan buat masa kini kita kekurangan hasil pendapatan tahun ini dan tiada peruntukan khas untuk skim TUGAS disalurkan.

“Namun bayaran balik oleh peminjam yang telah memperolehi pembiayaan ini akan membantu untuk menyalurkan atau membuat pusingan balik kepada pemohon-pemohon baru selepas itu,” katanya.