Terengganu Rancang Labuh 140 Tukun Tiruan

KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Kerajaan negeri dalam perancangan untuk merancakkan lagi sektor perikanan di negeri tersebut dengan melabuhkan 140 unit tukun tiruan pada tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, setiap daerah kecuali Hulu Terengganu akan diperuntukkan 20 unit tukun tiruan pada tahun ini.

“Bagi tahun 2025, kita (kerajaan negeri) target untuk melabuhkan 20 unit tukun tiruan bagi setiap daerah kecuali Hulu Terengganu.

“Bermakna kita akan melabuhkan 140 unit tukun dengan peningkatan 40 unit ketimbang 100 unit pada tahun 2024.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya, semalam.

Dalam usaha yang sama, sebanyak 1,579 unit tukun tiruan telah dilabuhkan oleh kerajaan negeri dengan peruntukan berjumlah  RM13 juta, bermula sejak tahun 2006 sehingga tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau yang juga ahli dewan undangan (ADUN) Jabi, turut menjelaskan bahawa sektor perikanan air tawar juga akan diberikan insentif bagi memenuhi keperluan nelayan darat di kawasan Hulu Terengganu.
   
“Hulu Terengganu walaupun ada Pantai Ali, tapi kita tak dapat nak labuh tukun.

“InsyaAllah, kita ganti dengan program pelepasan benih anak ikan ke sungai dan tasik sebagai sumber rezeki nelayan darat,” tambah beliau.

Untuk makluman, Terengganu juga termasuk antara negeri yang berada di kedudukan teratas dalam pengeluaran benih ikan, menghampiri satu billion ekor pada tahun 2020.