Terengganu Salur Bekalan Air Bersih ke Pahang

KUANTAN, 12 Disember – Terengganu kini memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi Pantai Timur apabila menyalurkan bekalan air bersih ke Pahang menerusi Projek Paip Pengagihan Air Kemaman-Gebeng. 

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek sepanjang 29.8 kilometer yang dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu akan memastikan penyaluran bekalan air terawat yang stabil ke kawasan perindustrian Gebeng, sekali gus menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi di Wilayah Pantai Timur.

"Projek ini bukan sekadar infrastruktur, tetapi simbolik kepada hubungan erat antara Terengganu dan Pahang. 

“Dengan saluran air ini, kita memenuhi keperluan industri sambil memperkukuhkan kerjasama dua negeri," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang yang berlangsung di Gebeng, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang; Dato' Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia Dato' Zulkifli Ali, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.

Menurut Ahmad Samsuri, projek itu juga menjadi bukti kepada kerjasama strategik antara ECERDC, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP). 

“Peranan Terengganu sebagai penyedia bekalan air menunjukkan komitmen negeri ini untuk berkongsi sumber demi kemajuan bersama.

"Terengganu bangga dapat menyumbang kepada pembangunan industri di Pahang. 

“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama antara Kerajaan Persekutuan, negeri, dan semua pihak berkepentingan," jelasnya.

Kata beliau, dengan bekalan air yang mencukupi, kawasan perindustrian Gebeng, termasuk Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), kini lebih bersedia untuk menyokong pelaburan dan operasi industri bernilai tinggi.

Tambahnya, selain memberi manfaat kepada Pahang, projek tersebut turut menjana pertumbuhan ekonomi di Daerah Kemaman. 

“Aktiviti industri yang berkembang dijangka mencipta peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat, sekaligus merancakkan ekonomi Terengganu.

"Inisiatif ini adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dua negeri, memperkukuhkan kedudukan Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi pelaburan strategik," ujarnya.

Dalam pada itu, projek itu turut menyumbang kepada pengukuhan daya saing kawasan perindustrian Gebeng menerusi sambungan infrastruktur utama seperti Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur, dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

“Ia adalah contoh terbaik bagaimana perkongsian sumber dan kerjasama strategik dapat memacu pembangunan serantau secara mampan,” katanya.

Sebagai rekod, projek tersbut mencatat pencapaian signifikan dengan membekalkan tambahan 90 juta liter air terawat setiap hari dari Tangki Bukit Kolam, Kemaman ke Tangki Central B, Gebeng, Pahang.

Bekalan ini menjadi tonggak utama dalam memenuhi permintaan air bersih yang dijangka melonjak kepada 466 juta liter sehari menjelang 2025, jauh mengatasi kapasiti semasa sebanyak 290 juta liter sehari.

Sebagai nilai tambah, SATU memastikan bekalan ini diberikan kepada PAIP pada kadar kompetitif RM1.40 setiap meter padu, menjadikannya penyelesaian mampan yang mesra kos untuk pembangunan industri di kawasan ini.