Terengganu Sambut 480 Mahasiswa Di Perantauan Pulang Beraya

Haji Maliaman (dua dari kanan) menyambut kepulangan Mahasiswa dan Mahasiswi Anak Terengganu di Perantauan pagi semalam. Foto oleh - Khairuddin Yusoff
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Seramai 480 orang mahasiswa anak Terengganu di perantauan selamat pulang dengan menaiki 12 buah bas Yayasan Terengganu (YT) dan tiba di Pekarangan YT dengan selamat, awal pagi semalam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Haji Maliaman Kassim, Pengarah YT, Haji Ishamudin Hashim dan Timbalan Pengarah (Pendidikan), Dr Hashim Azmi Haji Che Noh menyambut kepulangan mereka dalam satu majlis ringkas dan sesi bersahur di Dewan YT pada hari yang sama.

Dalam satu kenyataan media, Haji Ishamudin berkata, Kerajaan Negeri Terengganu melalui YT meneruskan tradisi setiap tahun dengan menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada mahasiswa untuk pulang ke Kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Program ini katanya, diselaraskan oleh Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) yang mana pada tahun ini telah menawarkan 12 buah bas termasuk enam buah bas bagi Zon Tengah, Zon Utara (empat buah) dan Zon Selatan (dua buah) bagi membawa pulang seramai 480 orang mahasiswa yang ketiadaan tiket untuk pulang beraya di kampung secara percuma.

"Program yang bertemakan “Tranung, mu tunggu aku balik!” ini telah memasuki edisi ketujuh penganjuran dan bertujuan mengurangkan beban kewangan di samping membantu para mahasiswa yang masih lagi ketiadaan tiket untuk pulang menyambut Aidilfitri.


"Pra pendaftaran program ini telah dimaklumkan melalui laman rasmi Facebook PERMATA universiti masing- masing awal Mei yang lepas," jelasnya.

Menurut beliau, semua 12 buah bas tersebut bertolak daripada lokasi yang ditentukan mengikut zon pada 31 Mei lalu dan telah tiba di Pekarangan YT pada jam empat pagi semalam dengan selamat.

Mereka kemudiannya disambut oleh Ustaz Haji Maliaman dan seterusnya diraikan dalam majlis ringkas dan sesi bersahur sebelum bergerak pulang ke daerah masing-masing.

Katanya, bagi pelajar yang tinggal di daerah Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, YT turut menyediakan bas untuk menghantar mahasiswa ini pulang ke daerah masing-masing.


Tag: