• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

Terengganu Sasar Lebih 500 Pemilikan Pensijilan Halal Menjelang 2025

KUALA NERUS, 26 September – Kerajaan negeri menyasarkan lebih 500 syarikat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang beroperasi di negeri ini memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelang 2025.

Pengerusi Jawatankuasa  Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, berdasarkan statistik yang diperoleh seramai 300 pemegang sijil halal di Terengganu sehingga kini yang berdaftar dengan JAKIM.

Justeru itu, pihaknya menyasarkan peningkatan usaha persijilan halal terutama bagi produk makanan di negeri ini supaya dapat mempertingkatkan pasaran eksport negeri membabitkan kluster makanan dan minuman.

“Terengganu agak ketinggalan dalam isu sijil halal ini kerana ada yang beranggapan apabila Terengganu 99 peratus adalah muslim, jadi peniaga-peniaga produk merasakan tidak perlu persijilan hala.

“Contohnya peniaga keropok, yang merasakan tidak perlu sijil halal tersebut kerana mereka kata produk yang dihasilkan sudah halal, bersih  dan orang melayu di Terengganu pula tidak timbul isu halal ketika membeli produk keropok,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan East Coast Halal Business Opportunities Seminar di Raia Hotel & Convention Centre, Gong Badak, di sini hari ini.

Tambahnya, usaha untuk memberi kesedaran kepada usawan tentang kepentingan persijilan halal menjadi satu cabaran kepada kerajaan negeri kerana  kesedaran berhubung sijil dan logo halal JAKIM dalam kalangan uasahawan di negeri itu masih rendah.

Katanya perakuan sijil halal terhadap sesuatu produk amat penting sekiranya para pengusaha mahu melebarkan sayap produknya ke luar negara terutama ke negara-negara Islam.

“Sekiranya usahawan tiada sijil halal, mereka akan sukar untuk memasarkan produk mereka, terutama jika mahu menembusi pasaran ke negara-negara Islam.

“Kita kena tambahkan usaha kita untuk persijilan halal ini kerana ianya telah menjadi satu tarikan untuk mana-mana negara di dunia ini yang memerlukan sijil halal tersebut untuk bahan makanan, jadi kita merasakan bahawa mungkin pelanggan-pelanggan akan merasa lebih terjamin daripada segi kebersihannya dan negara kita tidak terkecuali daripada segi ini,”ujarnya lagi.

Jelas Ariffin, pihaknya melaksanakan beberapa langkah untuk menarik lebih ramai usahawan Terengganu  memohon pensijilan halal daripada badan itu dengan mengadakan program kesedaran, bengkel, khidmat nasihat (pemudah cara) dan lain-lain lagi.

“Antara tindakan segera yang perlu diambil oleh Kerajaan Negeri sebagai projek perintis (pioneer project) ialah dengan menubuhkan Majlis Halal Terengganu (MHT) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“MHT akan membantu memperkasa penyelarasan pensijilan Halal Malaysia bersama antara JAKIM dengan JHEAT selaku badan berautoriti utama dalam pengurusan halal negeri termasuk menjadi pusat rujukan, pengiktirafan, penarafan dan khidmat nasihat berkaitan pensijilan halal,”katanya.