Pegawai Syariah Malaysia Sokong Terengganu Sebat Pesalah Khalwat di Masjid
Terengganu Sasar Terima Kunjungan 4.5 Juta Pelancong
HULU TERENGGANU, 18 Disember - Kerajaan Terengganu menyasarkan kehadiran 4.5 juta pelancong ke negeri ini pada tahun hadapan selepas berjaya mencatatkan kunjungan lebih 3.5 juta pelancong tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, sasaran itu mampu dicapai apabila pertumbuhan ekonomi negara akan sedikit pulih berbanding pada tahun ini di samping kerajaan negeri telah memulakan promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung domestik dan antarabangsa.
"Saya minta di Tasik Kenyir ini kita sasarkan satu juta pengunjung, kalau semua agensi ataupun pelbagai sektor terlibat berusana memanggil (menarik) pelancong hadir ke negeri Terengganu target kita akan sampai.
"(Kerana) kita bukan hanya ada Tasik Kenyir, juga memiliki pulau, 'rainforest' yang cantik di samping kita akan rancakkan lagi dengan beberapa aktiviti yang baru (bagi) menukar persepsi dimana apabila musim tengkujuh Terengganu tidak boleh dikunjungi.
"Tetapi sekarang kita telah buktikan (Terengganu boleh dikunjungi) dengan adanya International Moosoon Casting Tournament (IMCT), di Setiu Wetland pula kita akan adakan aktiviti mandi hujan dan kita akan banyakan lagi program di bulan tengkujuh antara november hingga Disember," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas menyempurnakan Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah IMCT, di Dapur Kenyir, Tasik Kenyir, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut Razali berkata, pada tahun hadapan promosi menarik pelancong dari luar negara tidak hanya bertumpu negara Eropah sebaliknya turut menyasarkan pelancong dari Timur Tengah.
"Kita hendak ramaikan pelancong muslim datang ke negeri Terengganu kerana kita hendak tunjukkan bahawa kita mesra muslim dan mesra syariah, di samping itu kita mendapat statistik yang baru bahawa pelancong dari negara China yang beragama Islam ramai datang ke negeri ini.
"Dengan pengecualian visa yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan kita sangat mengalu-alukan supaya pelancong yang mendapat pengecualian visa ini datang seberapa ramai mungkin," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, bagi mendapat data yang lebih tepat mengenai kehadiran pelancong ke negeri ini kerajaan negeri akan bangunkan satu sistem web bermula tahun hadapan bagi mendapatkan jumlah pengunjung yang lebih tepat.