Terengganu Sedang Nilai Kerugian Akibat Banjir - Dr Sam

MARANG, 21 Januari - Jumlah kerugian yang ditanggung oleh pelbagai sektor akibat bencana banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini masih dalam proses penilaian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berdasarkan maklumat awal yang diterima pihaknya, sektor pertanian dan penternakan merekodkan kerugian lebih kecil berbanding ketika bencana sama melanda sebelum ini.

“Berkaitan bencana banjir gelombang ketiga kita belum lagi menerima laporan penuh kerugian yang terpaksa di tanggung oleh pelbagai sektor. Kita ada anggaran kerosakan kepada sektor pertanian penternakan, tetapi kadar kerosakan terhadap dua sektor itu jauh lebih kecil berbanding yang dulu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita selepas Majlis YAB Menteri Besar Turun Padang sempena Penyerahan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompk (RTB) Tapak Kediaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri juga masih mengumpul bilangan keluarga terjejas akibat bencana tersebut.

“Kita masih kumpul lagi bilangan keluarga terjejas, tidak lebih dari 1,000 orang terkesan akibat kerosakan rumah mereka dan sangat minima berbanding dengan sebelum ini.

“Kerajaan negeri akan bantu dan tidak sama setiap orang kerana kerosakan berbeza, ianya sedang diuruskan oleh pihak kerajaan dengan dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.