KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Pemerkasaan kerjaya guru al-Quran menjadi keutamaan kerajaan negeri, lebih-lebih lagi bidang itu sangat tinggi nilainya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menzahirkan iltizam kerajaan negeri untuk mengangkat darjat dan nilai yang ada pada setiap guru terbabit melalui pelbagai pendekatan serta program dianjurkan menerusi jabatan-jabatan kerajaan.
"Pelopor al-Quran perlu dimartabat bukan sahaja pada bacaannya tetapi pada kefahaman dan keilmuannya," katanya ketika merasmikan perasmian penutup Nadwah Al-Quran Bersama Daie baru-baru ini.
Mengulas mengenai program yang diadakan Pertama kali itu adalah untuk meraikan jasa dan sumbangan yang telah yang diberikan selama ini dalam memperluaskan dan memperkasakan ilmu al-Quran mereka kepada anggota masyarakat.
"Juga untuk meningkatkan kesedaran para guru al-Quran agar mereka bukan sahaja mengajar al-Quran tetapi mereka juga sepatutnya mencontohi Rasulullah SAW," ujarnya.
Beliau turut menitipkan harapan agar seluruh guru al-Quran di Terengganu ini mempunyai beberapa kriteria dalam memperkasakan karier yang sangat mulia ini.
"Pertama, tingkatkanlah ilmu dan kefahaman khususnya yang berkait tentang al-Quran, bukan sekadar ilmu tajwid atau waqaf semata-mata tetapi turut mengikuti kelas-kelas tafsir al-Quran yang diadakan.
"Tingkatkan kemahiran dan kaedah-kaedah yang efektif kepada anak murid kita dalam menambahkan kemahiran mereka membaca al-Quran. Terokai kaedah-kaedah baru yang lebih memberi kesan ke atas mutu kemahiran pelajar kita.
"Terakhirnya, terima kasih kepada pihak Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang mengambil inisiatif untuk menghimpunkan seluruh guru-guru al-Quran dan Yayasan Islam Terengganu," ujarnya lagi.
Program tersebut diserikan dengan panel jemputan yang pakar dalam ilmu al-Quran iaitu Dr Azizul Hassan dan Prof Madya Dr. Wan Mohd, kedua-dua mereka adalah pensyarah UniSZA.
Program berkenaan telah diadakan secara atas talian serta mendapat sambutan mencecah hampir 1,000 tontonan di platform Webinar dan laman Facebook rasmi DUAT.