• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Terengganu Siap Siaga Hadapi Musim Banjir

Che Adam A Rahman memaklumkan aset untuk operasi banjir tahun ini turut ditingkatkan.
HULU TERENGGANU, 16 September - Semua agensi yang terbabit dengan usaha dan operasi banjir kini berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bermula Oktober ini sehingga Mac tahun depan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, bermula dua hari lepas sehingga hari ini, Terengganu telah melaksanakan Latihan Kesiapsiagaan Bencana Banjir dengan melibatkan sebanyak 28 agensi.

Jelasnya, pelbagai aset dan juga tenaga kerja termasuk koordinasi pengurusan bencana, pengurusan pusat pemindahan bersama komuniti penduduk kawasan berisiko banjir telah dikerah bagi menjayakan aktiviti tersebut.

“Kita menjangkakan sebanyak 497 pusat pemindahan banjir yang akan dibuka di seluruh negeri Terengganu bagi menampung 133,975 orang, dan persediaan keseluruhan dianggarkan sudah melebihi 70 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Simulasi Bersepadu Kesiapsiagaan Bencana Banjir Negeri Terengganu dan ‘Orang Ulu Hilir Ke Muara’ Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019, di Dataran Sungai Kampung Dusun hari ini.

Dr Mamad Puteh berucap melancarkan majlis.
Program berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh.

Menurut Che Adam, pihak APM Terengganu turut melakukan beberapa penambahbaikan bagi melaksanakan operasi banjir tahun ini.

Katanya, penumpuan lebih akan diberikan kepada kawasan yang berisiko banjir seperti Hulu Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman dan Besut.

“Kita telah menerima tambahan bot daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan APM pusat sebanyak 20 buah bot aluminium dan gentian kaca pada dua bulan lepas menjadikan keseluruhan sebanyak 58 buah bot.

“Saya dimaklumkan pihak polis mempunyai seramai 800 orang lebih kekuatan dan gabungan keseluruhan agensi serta jabatan melebihi 2,000 orang,” tambah beliau.


Tag: