Terengganu Sudah Rangka Pelan Pembangunan di Kawasan ECRL

KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Kerajaan negeri sudah merangka pelan pembangunan bagi merancakkan lagi perkembangan ekonomi di kawasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata ini termasuk dengan membina laluan cabang landasan (spur line) di lokasi ke Pelabuhan Kemaman.

“UPEN juga sedang menyediakan pelan untuk membangunkan kawasan-kawasan sekitar stesen ECRL di Jerteh, Permaisuri, Dungun, Kerteh dan Chukai. 

“Pembangunan yang dirancang akan menyokong kepada industri pemprosesan, pelancongan, pengumpulan produk tani dan berbagai aktiviti-aktiviti komersil,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) susulan kunjungan hormat kerajaan negeri ke atas CEO Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak di pejabat beliau di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Delegasi tersebut turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Harun, Pengurus Kanan Lembaga Pelabuhan Kemaman, Mohd Idi Amin Salleh dan Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ridzuan Ali.

Tambah Tun Faisal, pelan cadangan itu akan dikemukakan untuk pertimbangan agensi-agensi seperti Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaaan Malaysia Negeri Terengganu (MOTAC), Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan East Coast Economic Region (ECER).

Jelas Tun Faisal lagi, status pelaksanaan untuk jajaran ECRL di Terengganu adalah mengikut jadual

Terdahulu Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mewujudkan ‘spur line' dari hentian Chukai ke pelabuhan Kemaman, dipercayai dapat memangkin pembangunan Pelabuhan Kemaman dengan lebih pesat.

Menurutnya, apabila berlakunya kenaikan kuantiti kargo, keuntungan kos pengendalian dan kadar penggunaan pelabuhan yang maksimum.

“Pihak kerajaan negeri juga yakin dengan penambahan ‘spur line’ ini akan dapat meningkatkan minat pelabur-pelabur baharu ke Terengganu dan menambahkan keyakinan pelabur sedia ada untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.