Pemerhati Orang Asli Curi Tumpuan Pembentangan Belanjawan Terengganu
Terengganu Tembusi Pasaran Antarabangsa, UAE
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu memulakan sinergi promosi luar negara dengan penyertaan di Dubai Expo 2020, sebagai usaha memperluaskan kempen Visit Beautiful Terengganu.
Penyertaan kerajaan negeri dalam mempromosikan pelancongan negeri di Dubai Expo merupakan langkah pertama diambil dalam menggerakkan kempen promosi luar negara yang dilihat selari dengan perancangan promosi yang dirangka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, melalui penyertaan kali pertama di expo antarabangsa terbesar itu, pihaknya berharap dapat membuka peluang dalam mempromosikan dan memperkenalkan Terengganu di persada dunia, terutama melibatkan pasaran timur tengah dan negara-negara Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Ia juga merupakan platform terbaik bagi kerajaan negeri dalam mengenalpasti peluang perniagaan dan pelaburan berkaitan sektor pelancongan, selain dapat menjalinkan perkongsian maklumat berhubung industri pelancongan dengan fokus untuk meningkatkan permintaan perjalanan ke negeri Terengganu, terutama dalam mempromosikan Terengganu khususnya sebagai destinasi pelancongan mesra muslim,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, selari dengan tema pelancongan eko yang diketengahkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, kerajaan negeri turut mengenalpasti segmentasi dan produk-produk berkaitan seperti Tasik Kenyir, Setiu Wetlands, pulau-pulau dan pantai serta pelbagai lagi khazanah alam semula jadi yang dipromosikan menerusi paparan digital dan elektronik di expo tersebut.
Expo Dubai 2020 yang berlangsung dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 di Dubai, dengan tema 'Connecting Minds, Creating the Future' melibatkan penyertaan lebih 190 buah negara dan organisasi dari seluruh dunia.
Bertemakan Eco Tourism, minggu ke-13 expo yang berlangsung dari 26 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 tersebut diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, menerusi agensi pelaksana Tourism Malaysia disertai oleh beberapa buah negeri, antaranya Terengganu, Selangor, Sarawak, Perak, dan Langkawi.
Antara pengisian program sepanjang expo berlangsung adalah, kempen promosi pelancongan negeri bersama media UAE, sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan Dubai, Tourism Talk, lawatan ke pavillion luar negara, dan pelbagai lagi.