Terengganu Terpilih Sertai TMM2020
Foto oleh : Zulkipli Putra
Terengganu membuat persiapan rapi bermula tiga tahun dari sekarang bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) sebagaimana yang diisytiharkan Perdana Menteri.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pengiktirafan yang diberikan terhadap sektor pelancongan negeri memerlukan kerajaan dan penggiat industri itu lebih agresif untuk merebut peluang termasuk menggandakan usaha promosi.
"Kita merasa amat gembira kerana Tourism Malaysia telah mengambil Terengganu sebagai sebuah negeri yang terpilih untuk sama-sama membuat promosi bagi program TMM2020 itu.
"Mulai tahun ini program promosi pelancongan bagi TMM akan dipergiatkan yang akan dilaksanakan di beberapa negara, akan diikuti oleh wakil dari Terengganu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program KT City Fun Run 2018 di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, hari ini.
Ahmad Razif berkata, Terengganu juga tidak menetapkan tahun Visit Beautiful Terengganu kerana program seumpama itu akan diteruskan pada setiap tahun sehingga 2020.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa projek yang sedang dan akan dibangunkan di negeri itu mampu menarik kedatangan pelancong seperti pembinaan jambatan angkat menghubungkan Kuala Terengganu-Seberang Takir yang dijangka siap pada September ini dan menjadi satu lagi mercu tanda Terengganu.
"Begitu juga dengan pusat pelancongan Tasik kenyir apabila kita akan mewujudkan terminal cruise di Pengkalan Gawi tahun ini selain perkedaian di kawasan bebas cukai, Pulau Bayas sebagai tarikan pelancong untuk ke negeri ini," katanya.
Ahmad Razif berkata, tahun ini kerajaan negeri mensasarkan kedatangan seramai 5.5 juta pelancong berbanding lima juta pada tahun lepas, di mana jumlah itu mencapai sasaran.