Terengganu Tidak Berganjak, Hukuman Sebat Tetap Diteruskan

KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan negeri tidak berganjak dan akan tetap meneruskan hukuman enam sebatan di khalayak ramai walaupun telah ada suara-suara dari golongan tertentu yang tidak mahu ia dilaksanakan sehingga melabelkan Terengganu sebagai negeri taliban.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata Kerajaan Terengganu tidak sesekali berganjak ke belakang dari tidak melaksanakan hukuman itu semata-mata dengan suara-suara yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Menurutnya, hukuman itu adalah selari dengan tuntutan agama Islam dan  ia selari dengan polisi kerajaan negeri yang menetapkan agenda pemerkasaan sebagai satu agenda utama.

"Dalam konteks ini kita akan 'move forward' tidak akan undur ke belakang untuk terus memperkasakan syariah di negeri Terengganu ini.

"Jadi kita akan terus melangkah ke hadapan dan  tidak akan undur ke belakang, hasrat kita yang paling utama dalam pelaksanaan sebatan di khalayak ini adalah hendak memperkenalkan kepada masyarakat bahawa hukuman ini berbeza dengan undang-undang sivil untuk lebih mendidik bukannya untuk mencederakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa menghadiri Dialog EXCO Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut katanya, hukuman sebat yang bakal dilaksanakan itu adalah kepada pesalah jenayah syariah yang melakukannya berulang kali.

"Jadi hakim (Mahkamah Syariah) boleh menentukan hukuman sebat ini di khalayak ramai mengikut bidang kuasa yang ada.

"Manakala agensi-agensi yang terlibat nanti akamn menjadi pelaksana dan setakat ini kita telah berbincang dan jawapannya sangat positif untuk memberikan kerjasama kepada kita," ujarnya.