Terengganu Tinjau Pusat Perlindungan, Bantu Wanita Kurang Bernasib Baik - Satiful Bahri
Oleh: Muhd Lukman, Khairuddin Yusof
SABAK BERNAM, 6 Disember - Dalam usaha menambah baik pendidikan rakyat di kalangan semua peringkat khususnya golongan wanita yang kurang bernasib baik, Kerajaan Terengganu bertindak meninjau operasi keseluruhan pusat perlindungan sedia ada.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, tinjauan dan lawatan kerja ke Selangor hari ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan dua hala dengan pusat perlindungan di sini yang telah lama beroperasi.
"Kerajaan negeri sentiasa mencari jalan untuk melindungi dan membela golongan seumpama ini. Kita berhasrat untuk belajar dari negeri Selangor yang telah banyak mempunyai pusat-pusat perlindungan.
"Kita juga sedia maklum pelatih-pelatih di sini juga sebahagiannya dari Terengganu yang masuk melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maidam) di bawah kategori perintah mahkamah," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam lawatan kerja ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, di sini hari ini.
Rombongan kerajaan tersebut terdiri daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Kehakiman Syariah dan Maidam.
Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato' Bakhtiar Hussin menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk menjalinkan kerjasama dua hala dengan pihak MAIS.
"Kita mengalu-alukan kerjasama ini untuk membantu golongan ini memperbaiki diri mereka dengan latihan yang ditawarkan di sini.
"Kita juga mempunyai beberapa tempat perlindungan yang lain dan sebahagiannya adalah Pusat Perlindungan Baitul Ehsan untuk golongan wanita manakala Baitul Iman untuk golongan lelaki," jelasnya.
Katanya, tujuan pusat ini ditubuhkan adalah untuk membangunkan asnaf Al-Riqab.
"Tujuan penubuhan pusat ini untuk membebaskan mereka melalui kaedah merawat, memulih dan memberi perlindungan secara menyeluruh dan berkesan melalui al-Quran dan sunnah.
Menurutnya, pusat ini turut berkolaborasi dengan Kolej Komuniti Sabak Bernam untuk memantau bidang kemahiran yang ditawarkan di pusat berkenaan.
"Di sini kita mempunyai tiga bidang kemahiran iaitu memasak, menjahit dan membuat kraftangan yang ditawarkan kepada para pelatih serta akan dipantau oleh kolej komuniti.
"Mereka juga akan memperolehi sijil kemahiran setelah menamatkan bidang kemahiran ini dari kolej komuniti sekali gus akan membantu mereka bekerja pada masa akan datang," tambahnya.