Terengganu Tubuh Akademi Al-Quran

DUNGUN, 22 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu  (JHEAT) dalam perancangan untuk menubuhkan Akademi Al-Quran yang bakal menjadi mercu tanda dalam memartabatkan syiar Islam secara konsisten.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, akademi itu ditubuhkan sebagai inisiatif menjadikan pendidikan berasakan al-Quran sebagai fokus utama agar dapat dihayati dengan baik.

"Akademi ini bertujuan untuk memberikan pendekatan yang lebih sistematik dan berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran al-Quran.

"Sekali gus memperkukuhkan penghayatan terhadap wahyu ilahi dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Arena Square, di sini, semalam.

Mengulas mengenai tilawah dan hafazan yang diadakan bermula semalam itu, Ahmad Samsuri berkata ia merupakan manifestasi kecintaan terhadap al-Quran terhadap wahyu ilahi yang menjadi sumber inspirasi dan pedoman hidup.

"Penghayatan al-Quran, tidak seharusnya terhad kepada pembacaan atau hafazan sahaja, tetapi perlu diterjemahkan dalam bentuk amalan berkerajaan, bermasyarakat, hubungan merentasi kaum dan agama, berurus niaga, berkeluarga dan akhlak yang mulia.

"Majlis (seumpama ini) memberikan peluang kepada kita untuk lebih memahami keindahan seni bacaan al-Quran namun ia juga mengingatkan kita bahawa intipati sebenarnya adalah seruan kepada kebenaran, keadilan dan kasih sayang," jelas beliau.