lightning-solid
Berita :
Terengganu Tubuh Jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Syariah
Terengganu Tubuh Jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Syariah
Adli Mohamad
11 Nov 25
313

KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan Terengganu dijangka menubuhkan Jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu melibatkan pelbagai entiti bagi meningkatkan pemantauan dan penyelarasan berkait apa-apa aktiviti di negeri itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata tindakan itu akan dilakukan selari dengan penggubalan enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah dalam talian bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil untuk membendung kesalahan berkenaan.

Katanya, kerajaan Terengganu akan turut mengadakan pelbagai aktiviti dan kempen bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya menjauhi dan memerangi jenayah sama ada sivil atau syariah.

"Antara yang menjadi keutamaan ialah Karnival Indahnya Hidup Bersyariat, Kempen Cegah Sebelum Parah dan program kesedaran kecelaruan orientasi seksual serta kesihatan mental dalam kalangan warga sekolah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2026 di Wisma Darul Iman, semalam.

Dalam pada itu Dr. Ahmad Samsuri berkata, kursus perkahwinan dan Program Pasca Perkahwinan pula akan dilaksanakan melalui modul bersepadu, latihan berstruktur, pemantauan berterusan dan pendekatan holistik.

"Serta memperkemas rangkaian dan perkhidmatan kauselor serta perunding cara rumah tangga," ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan