Terengganu Tubuh SUKANT Jaga Kebajikan Atlet

KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Kerajaan negeri melancarkan Sekretariat Kebajikan Atlet Terengganu (SUKANT) bagi memastikan kebajikan mereka yang menceburi bidang sukan serta bekas atlet terjamin serta tidak dipinggirkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia berperanan sebagai perantara untuk menyelaraskan segala urusan dan keperluan golongan terbabit yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

"Fungsinya sama seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bertujuan untuk menjaga kebajikan ahli di kalangan atlet dan bekas atlet yang merupakan anak jati negeri Terengganu, termasuk sekiranya mereka ingin menyambung pelajaran maka akan digunakan jawatankuasa ini bagi merealisasikan hasrat mereka.

"Jika sekiranya ada atlet yang berminat untuk berniaga maka kita akan uruskan untuk mereka mengikuti kursus dan mendapatkan modal yang diperlukan, juga termasuk dalam menjaga aspek kesihatan dan kesejahteraan mereka dengan memberikan kad sejahtera pada peringkat awal ini supaya digunakan untuk tujuan mendapatkan perubahan di klinik swasta yang menjadi panel kepada kerajaan.

"Kita berikan inisiatif ini di atas menghargai segala jasa yang mereka lakukan sewaktu memberikan sumbangan dan mengharumkan nama negeri dengan melakarkan kejayaan yang sangat membanggakan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu SUKMA XX, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini baru-baru ini.

Katanya, pada peringkat awal ini kerajaan sedang mengumpulan semua bekas atlet untuk disenaraikan sebagai ahli SUKANT.

"Walaupun mereka telah mendapat bantuan selama ini daripada YAKEB, kerana mereka atlet Terengganu maka merkea ini juga akan dipastikan mendapat inisiatif ini untuk menampung keperluan juga sebagai sokongan tambahan.

"Setakat ini tidak ada kadar yang spesifik, ia adalah mengikut keperluan dan dana yang diberikan oleh kerajaan sebagai permulaan untuk hari ini kita telah menerima RM100,000 yang diserahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dana ini akan ditambah lagi melalui pihak kerajaan dan swasta berdasarkan keperluan tertentu di masa akan datang," katanya.