• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

Terengganu Usul Lima Isu Kepada Menteri Belia Dan Sukan


Terengganu membangkitkan lima perkara kepada Kerajaan Pusat termasuk isu peruntukan khas kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Terengganu Cycling Team (TSG) seperti yang  dijanjikan oleh Menteri Belia dan Sukan terdahulu, dalam mesyuarat di Putrajaya, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, permohonan insentif khas itu berdasarkan kejayaan cemerlang atlet Terengganu dan juga kecemerlangan sukan berbasikal di mata dunia yang dicapai oleh TSG.

Katanya, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyentuh pembinaan Velodrom berbasikal di Dungun, Pembinaan Kompleks Sukan Hulu Terengganu, Pembinaan Kompleks Sukan Mini di Jabi, Setiu dan Pembinaan Pusat Rekreasi Air di Pulau Duyong.


"Semua projek ini sebahagiannya telah pun diletakkan batu asas pembinaan dan telah diumumkan sendiri oleh menteri terdahulu, juga oleh kementerian dan diluluskan dalam perancangan projek RMK10 (Rancangan Malaysia Ke-10).

"Dengan pendekatan politik yang matang ditunjukkan oleh YB Menteri, saya yakin ianya akan dapat dilaksanakan dan direalisasikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas Mesyuarat Bersama Menteri di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, semalam.


Turut hadir dalam mesyuarat itu semua Exco Belia Dan Sukan Negeri-negeri seluruh Malaysia.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam turut menzahirkan rasa senang dengan sikap matang yang ditunjukkan oleh YB Menteri apabila berulang kali memberitahu untuk memastikan pembangunan sukan dan projek berkaitan tidak akan diabaikan serta tetap akan melaksanakan pembangunan itu di negeri pembangkang seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Malah, menurut beliau lagi, Saddiq juga bersetuju untuk melakukan lawatan ke Terengganu, Kelantan dan Pahang untuk menyelaraskan semua perkara berkaitan kementeriannya di antara kerajaan pusat dan negeri secepat yang mungkin.



Tag: