KEMAMAN, 5 November – “Secara jujurnya, kami sendiri tidak mampu menyediakan apa yang kerajaan sediakan pada hari ini.”
Demikian luahan penuh kesyukuran Za’ba Abd Jalil, 68, penduduk Kampung Besut 1, yang terharu menerima sebuah rumah baharu selepas kediamannya musnah dalam kebakaran pada Februari lalu.
Beliau melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas bantuan yang diterima, sekali gus mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Dato’ Hanafiah Mat, Kerajaan Negeri Terengganu serta semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan pembinaan rumah berkenaan.
Menurut Za’ba, bantuan tersebut amat bermakna buat dirinya dan keluarga, terutama selepas berdepan ujian kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan sebuah rumah baharu bagi menggantikan rumah yang telah terbakar,” katanya.

Menurut Hanafiah, penyerahan rumah berkenaan merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat yang ditimpa musibah dan bencana, khususnya golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, usaha membantu rakyat bukan sekadar memberikan bantuan segera, sebaliknya turut memastikan mereka dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih selesa, selamat dan sejahtera.
“Inilah antara usaha dan keprihatinan Kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya mereka yang diuji dengan musibah,” katanya selepas menyempurnakan sesi penyerahan kunci.

Penyerahan itu sekali lagi memperlihatkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, selaras dengan usaha membina kehidupan masyarakat yang lebih sejahtera dan harmoni.