Ternakan Secara Hobi Mewah Tidak Layak Mohon Ganti Rugi

KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Mana-mana individu yang mengusahakan ternakan secara hobi mewah tidak layak untuk memohon bantuan Tabung Bencana Pertanian Terengganu sekiranya binatang tersebut mati kerana bencana.

Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, kebiasaan mereka yang memeliharanya disifatkan berkemampuan dari segi kewangan.

Menurutnya, haiwan yang dibela sebagai hobi mewah ini tidak dikategorikan sebagai penerima bantuan Tabung Bencana Pertanian kerana bukan dalam industri ternakan yang menjana sumber bekalan makanan negeri yang menjadi hala tuju pertanian negeri.

“Ambil maklum aktiviti pemeliharaan haiwan seperti arnab import berharga lebih RM3,000 seekor di samping ayam serama atau ikan hiasan yang bernilai ribuan ringgit seekor tidak dikategorikan dalam senarai penerima bantuan Tabung Bencana Pertanian. 

 “Saya mencadangkan haiwan mahal seumpama itu perlu dilindungi oleh insuran kerana kerajaan negeri tidak menyediakan peruntukan untuk bayaran ganti rugi misalnya kematian 20 ekor arnab yang nilainya melebihi RM60,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Menurut Azman, Tabung Bencana Pertanian Terengganu memperuntukkan RM1 juta setahun untuk tiga sektor utama pertanian, penternakan dan perikanan bagi seluruh negeri sekiranya mereka ditimpa bencana.

“Sebanyak RM588,000 disalurkan kepada 679 petani, penternak dan nelayan di negeri ini yang terkesan akibat banjir dan ribut dalam tempoh dua tahun sejak 2020.

“Penerima paling banyak melibatkan pemain dalam sektor pertanian iaitu 496 orang dengan sumbangan berjumlah RM301,000 diikuti penternakan RM153,000 (89 penerima) dan perikanan sebanyak RM134,000 (83 orang),”ujar beliau.