• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

Terpikat Aroma Roti Dibakar Kayu Api

KUALA TERENGGANU, 4 Januari- Adunan roti yang dibakar menggunakan kayu api membangkitkan aroma tersendiri memikat sesiapa saja yang melalui Kedai Roti Dapo Kayu milik Ramli Embong,63, yang terletak bersebelahan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal.

Malah, roti yang dijual panas-panas oleh Ramli itu pasti membuatkan orang ramai tertarik untuk mencubanya.

Pelanggan tetapnya dari Kampung Padang Nenas, Hasan Muda, 72, berkata, Kedai Roti Dapo Kayu yang turut dikenali dengan nama Kedai Roti Pok Mbong cukup sinonim kepada penduduk sekitar untuk mendapatkan roti sebagai hidangan minum petang.

“Saya dan penggemar roti ini biasanya datang awal dan sanggup menunggu walaupun kedai dibuka bermula jam 11 pagi sehingga 1 tengahari. Jika datang selepas itu, pasti ada yang kempunan,” ujarnya ketika ditemui pemberita di kedai tersebut.

Sementara itu, Sharul Ezat,34, dari Kuala Lumpur mengakui, kedai itu menjadi lokasi wajib untuk membeli roti setiap kali pulang ke kampung isterinya di Kubang Parit.

“Setiap kali balik kampung, saya akan singgah sini untuk mencari roti yang punya aroma dan keenakannya yang tersendiri.

“Walaupun jauh saya sanggup juga datang untuk rasa roti yang sedap ini kerana dia punya rasa, lembut memang tidak dapat jumpa di tempat lain. Memang puas hati dan berbaloi kalau beli,” katanya yang akan membeli dalam kuantiti lebih untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur. 

Bagi Abdul Halim Abu Bakar,63, Kampung Gong Nangka, Marang, dia teringin mencuba roti berkenaan kerana terkenang nostalgia zaman kanak-kanaknya. 

“Saya datang sini sebab teringat-ingat roti dapur kayu yang dibuat arwah datuk nenek masa budak-budak dulu kerana nenek saya waktu itu juga buat roti ini untuk dijual.

“Sebenarnya sudah dua minggu saya rancang untuk datang beli roti ini, tapi baru berkesempatan untuk rasa buat pertama kali,” ujarnya.