• 23 Okt 2024 | 20 Rabiul Akhir 1446

Tertarik Dengan Tawaran Antara Punca Terpedaya Penipuan 'Scammer'

KUALA TERENGGANU, 26 September - Akibat mudah terpengaruh dengan sesuatu yang ditawarkan antara punca seseorang  individu itu menjadi mangsa jenayah penipuan (scam).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima purata lima hingga enam laporan setiap hari membabitkan jenayah 'scammer' di daerah ini.

"Ia merupakan aktiviti jenayah terancang dan merupakan satu ancaman teruk terutamanya dalam daerah ini.

"Disebabkan itu, kita sentiasa mengadakan perbincangan, perjumpaan dan mengadakan kobalorasi dengan pelbagai pihak dan masukkan slot berkaitan dengan ' scammer' pada setiap program yang dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ancaman 'scammer'," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Tanggungjawab Sosial  Amanah Raya Berhad Dan PDRM Bersama Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara & Selatan di Dewan Akademi Perikanan, Chendering di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Ahmad Feizal Sulaiman Khan.

Mengulas lanjut katanya, bentuk penipuan paling tinggi di daerah Kuala Terengganu adalah melibatkan pelaburan tidak wujud.

"Walaupun kesedaran orang ramai semakin meningkat tetapi seperti yang kita sedia maklum penggunaan media sosial bukan setakat kanak-kanak sahaja tetapi turut popular di kalangan orang dewasa seperti Telegram, Tiktok dan sebagainya.

"Mereka mempunyai perasaan ingin mencuba dan melihat apa yang ditawarkan menyebabkan mereka mudah terperangkap dengan aktiviti 'scammer'," ujarnya.

Katanya, walaupun telah diberi amaran, peringatan tetapi masih ada lagi yang menjadi mangsa dan mereka bukan hanya dalam kalangan masyarakat biasa, malah penjawat awam turut terjerat.