lightning-solid
Berita :
Tiga Bayi Lahir Pada Maulidur Rasul 2026
Tiga Bayi Lahir Pada Maulidur Rasul 2026
Muhammad Amiruddin Zamri
2 jam yang lepas
46

DUNGUN, 26 Ogos – Sebanyak tiga kelahiran bayi direkodkan di Hospital Dungun pada hari sambutan Maulidur Rasul 1448H, diraikan menerusi Program Permata Maulidur Rasul 2026M/1448H.

Program berkenaan menjadi simbolik dalam meraikan kehadiran insan-insan kecil yang lahir pada hari istimewa, di samping menyemarakkan rasa kasih dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Dalam kesempatan tersebut, turut diadakan sunnah mentahnik bayi sebagai tanda kasih serta doa agar anak-anak yang baru dilahirkan sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. 

Sumbangan dan hadiah turut disampaikan kepada keluarga bayi berkenaan sebagai tanda ingatan dan penghargaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman turut menyertai program berkenaan dan mentahnik bayi-bayi tersebut.

Tiga bayi tersebut dianggap sebagai permata baharu buat keluarga dan bakal pewaris ummah, sekali gus mencerminkan harapan agar generasi yang lahir pada hari penuh keberkatan ini membesar sebagai insan berilmu, berakhlak mulia serta memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Setiap kelahiran bukan sekadar membawa kegembiraan kepada sebuah keluarga, malah merupakan amanah besar daripada Allah SWT yang perlu dipelihara dengan penuh kasih sayang, pendidikan dan didikan agama.

Semoga ketiga-tiga bayi berkenaan dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia dalam keberkatan, menjadi anak yang soleh dan solehah serta membesar sebagai generasi pewaris ummah yang membawa sinar kebaikan kepada masyarakat.

Program tersebut turut disertai Pegawai Agama Daerah Dungun, Ahadi Othman; Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun, Azilia Hani Abd Aziz; serta Timbalan Pengarah Hospital Dungun, Nurul Fatanah Kamarul Zahari.

Program Permata Maulidur Rasul ini bukan sahaja meraikan sebuah kelahiran, tetapi mengangkat nilai kasih sayang, doa, kebersamaan dan harapan terhadap generasi masa hadapan, bertepatan dengan semangat Maulidur Rasul yang mengajak umat Islam meneladani akhlak dan kasih sayang Rasulullah SAW.


Tag :

Artikel Berkaitan