lightning-solid
Berita :
Pelajar DEPT KQT Turun Padang, Dekati Komuniti Tebauk
Pelajar DEPT KQT Turun Padang, Dekati Komuniti Tebauk
Adli Mohamad
6 jam yang lepas
41

KUALA NERUS, 26 Ogos – Kumpulan sulung Diploma Eksekutif Pengajian Tafsir Al-Quran (DEPT) Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) turun mendekati masyarakat menerusi Program Mahabbah Komuniti bersama penduduk Tebauk, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, baru-baru ini.

Program yang berlangsung pada 15 Ogos lalu bertemakan Ilmu, Kesihatan dan Ukhwah Ke Arah Komuniti Sejahtera itu menjadi medan kepada pelajar DEPT kumpulan pertama menterjemahkan ilmu yang dipelajari menerusi subjek Keterlibatan Komuniti dalam suasana sebenar bersama masyarakat.

Program berkenaan dirasmikan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak.

Timbalan Ketua Eksekutif (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) KQT, Abu Hassan Basori Abdullah berkata, penglibatan pelajar dalam program komuniti bukan sekadar memenuhi keperluan kursus, sebaliknya memberi pengalaman penting dalam proses menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

“Proses menuntut ilmu merupakan satu proses mendapatkan ilmu, manakala proses menyampaikan ilmu pula adalah sesuatu yang berbeza dan menuntut pengalaman.

“Justeru, program seperti ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang bagaimana ilmu yang diperoleh dapat disampaikan serta dimanfaatkan oleh masyarakat sebagai end-user,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Menurutnya, pengalaman turun ke lapangan penting bagi membentuk pelajar yang bukan sahaja mempunyai penguasaan ilmu, malah mampu berkomunikasi, berinteraksi dan memberikan khidmat kepada masyarakat.

Katanya, KQT berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan masyarakat.

“Semoga usaha ini dapat diteruskan dan KQT terus berupaya melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu, tetapi mampu memberikan manfaat kepada masyarakat dan ummah,” katanya.

Abu Hassan berkata, KQT menerusi program pengajian yang ditawarkan termasuk DEPT, program diploma dan Kuliyyah Al-Furqan terus menyediakan ruang pendidikan yang bukan hanya menekankan penguasaan ilmu, tetapi juga keupayaan mengaplikasikannya dalam masyarakat.

“Pelajar bukan sahaja perlu menguasai ilmu, tetapi perlu mempunyai pengalaman bagaimana untuk menyampaikan ilmu tersebut kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak masjid, Pejabat ADUN Bukit Tunggal, Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus, penaja serta semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Program Mahabbah Komuniti, Mohd Shahrulnizam Ikhwan Abdullah berkata, penganjuran program tersebut menjadi pengalaman bermakna khususnya kepada pelajar DEPT kumpulan pertama yang berpeluang mengaplikasikan pembelajaran dalam konteks kemasyarakatan.

Menurutnya, program itu turut membuka ruang kepada pelajar memahami keperluan masyarakat melalui pendekatan yang lebih dekat dan santai.

“Ini bukan sekadar program untuk memenuhi tuntutan kursus, tetapi menjadi ruang kepada kami sebagai pelajar DEPT kumpulan pertama untuk belajar berinteraksi dan memberikan khidmat kepada masyarakat.

“Kami berharap pengalaman ini menjadi satu permulaan kepada lebih banyak program bersama komuniti pada masa akan datang,” katanya.

Antara pengisian program ialah pemeriksaan kesihatan umum yang dikendalikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PAPISMA), pemeriksaan kesihatan mental serta perkongsian berkaitan amalan halal.

Program turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah kepada penduduk yang hadir.

Penganjuran program itu turut mendapat sokongan beberapa penaja dan rakan strategik termasuk PERKAMA, INSAFF Travel dan Politeknik METrO Kuantan.



Tag :

Artikel Berkaitan