KUALA TERENGGANU, 18 November – Peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu yang memperoleh keputusan semua A meningkat tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun, daripada 0.05 peratus pada 2023 kepada 0.15 peratus pada 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, peningkatan itu turut disertai prestasi keseluruhan yang semakin baik apabila Gred Purata SPM bertambah baik daripada 4.41 kepada 4.17 dalam tempoh sama.
Menurutnya, peratus calon yang layak menerima sijil SPM juga kekal tinggi, iaitu melebihi 96 peratus sepanjang tempoh berkenaan.
"Pada 2024, Gred Purata ialah 4.31 dengan 0.07 peratus calon memperoleh semua A dan 96.67 peratus layak mendapat sijil.
"Manakala pada 2025, Gred Purata meningkat kepada 4.17 dengan 0.15 peratus memperoleh semua A dan 96.61 peratus layak mendapat sijil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan berhubung pencapaian akademik pelajar Terengganu bagi tempoh 2023 hingga 2025 serta strategi meningkatkan kecemerlangan pendidikan menjelang 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini.
Mengulas lanjut, Satiful Bahri berkata, pelbagai program intervensi dilaksanakan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menerusi Program Pendidikan Anjung Ilmu bagi membantu meningkatkan pencapaian pelajar.
Katanya, usaha itu merangkumi penyediaan modul pembelajaran khusus mengikut keperluan mata pelajaran, terutama bagi membantu calon menguasai subjek teras dan meningkatkan pencapaian akademik.
"Antaranya Modul Bantu Lulus Bahasa Melayu, Modul Bantu Lulus Sejarah, Modul VIP bagi Bahasa Inggeris, Modul HeLPS bagi Matematik dan Modul Permata bagi Matematik Tambahan.
"Modul Intervensi Pembelajaran (MIP) turut disediakan dengan memberi tumpuan kepada tajuk tertentu, khususnya selepas Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Percubaan SPM," jelasnya.
Selain itu, katanya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut melaksanakan tutorial mata pelajaran berfokus, manakala Akademi SPM memberikan tumpuan khusus kepada calon yang berpotensi memperoleh keputusan semua A.
Menurut beliau, kerjasama JPNT dengan Persatuan Pesara Pegawai Pendidikan Cawangan Negeri Terengganu turut diperluaskan melalui program bimbingan kepada pelajar daripada keluarga penerima e-Kasih.
Dalam masa sama, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) turut melaksanakan pelbagai program akademik bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar sekolah menengah agama negeri.
Antaranya Kem Mumtaz Bestari STEM A X Prinsip Perakaunan, Kem Mumtaz Bestari SMIDI-MTQT SPM, Sabilul Imtiaz KBD SPM, Kem Tahqiq al-Fauz KBD SPM serta Haflu Takrim Kecemerlangan SPM.
Satiful Bahri berkata, pemantauan keputusan peperiksaan turut dilaksanakan secara berkala bagi mengenal pasti pelajar yang memerlukan bimbingan tambahan.
Katanya, pihak sekolah juga mengambil langkah menghubungi ibu bapa atau penjaga bagi memastikan intervensi bersesuaian dapat dilaksanakan mengikut keperluan setiap pelajar.
"Pemantauan serta pelaporan secara berterusan kepada JPINT membolehkan tindakan penambahbaikan dirancang berdasarkan data, analisis ujian dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
"Kesinambungan penyediaan modul, intervensi bersasar dan kerjasama guru, sekolah serta PPD amat penting bagi memastikan peningkatan pencapaian SPM negeri Terengganu dapat diteruskan dan kecemerlangan murid dikekalkan," katanya.